Sepakat Efektif mengumumkan penerbitan majalah terbaru berjudul "Isu Dalam Katak (Kartun)". Seperti keluaran terdahulu, karya-karya kartun dalam keluaran ini mengupas isu-isu politik dan sosial semasa. Kulit depannya (dilukiskan oleh Zunar dan Nur) memaparkan lukisan watak seorang lelaki yang tertulis "PM" di bajunya kelihatan gembira dikelilingi beberapa ekor katak yang berbunyi "Ong! Ongkos!".
Selain itu, di dalam juga terdapat 10 muka surat yang dinamakan "wilayah katak". Seksyen ini dipenuhi dengan karya-karya menyindir ahli politik PR yang melompat seperti ruangan "Wikipakdia" yang mengupas spesis-spesis katak di Malaysia, kartun "PM and Frog" dilukis seperti poster filem animasi Walt Disney "Princess and Frog" dan lain-lain lagi.Antara yang menarik dalam keluaran kali ini ialah 12 muka surat kartun khas tentang kes Fitnah Kedua terhadap Anwar Ibrahim. Dengan tajuk "6 Jahanam", kisah dimulakan dengan membongkar kepincangan yang berlaku dalam konspirasi pertama pada 1998 dahulu seperti watak hakim yang menolak apa saja bukti yang dikemukakan dengan ayat popular "tak relevan!", tawaran kepada peguam supaya bekerjasama dalam konspirasi, tilam diusung, kesalahan menaip dan lain-lain lagi.
Kemudian episod konspirasi kedua bermula dengan kepincangan yang berlaku apabila laporan pakar perubatan menunjukkan tiada kesan tusukan tetapi pendakwaan tetap diteruskan, bagaimana si pendakwa tidak buang air besar tiga hari dan dolak-dalih PM tentang pertemuannya dengan si pendakwa. Kartun khas yang dilukiskan oleh Jonos, Ronasina dan Art ini diakhiri dengan lukisan wajah ulama tersohor dunia Syeikh Yusof Qardhawi yang telah mengeluarkan fatwa khas tentang sesiapa yang menjayakan fitnah ini.
Keluaran kali ini juga menyiarkan komik "Dari Kerana Mata" yang menghimbau kembali tragedi mata lebam Anwar Ibrahim ditumbuk Ketua Polis Negara pada masa itu. Gerakan Mansuh ISA (GMI) juga menyumbangkan idea untuk keluaran kali ini bagi menyedarkan masyarakat tentang zalimnya akta drakonian ini. GMI mengajak rakyat Malaysia berjuang agar ISA dihapuskan, bukannya dipinda seperti yang diomongkan kerajaan.
Ruangan-ruangan yang dikekalkan seperti keluaran sebelum ini ialah "Ragam Datuk Nazak" (kisah PM dan isterinya), 2 Tun dan Kutu Jebon (Ronasina), Warung Pak Emjal (Art), dan Nostalgia 98 (Enot). Kartunis penyumbang ialah Haili, Enot, Nur, Abdullah Jones, Roy, Rockafalas, Madsein, Kidol dan Ubilepih. Juga turut memuatkan artikel penulis-penulis seperti Hishamuddin Rais, Pyanhabib, Pusparos, Benludin, Aki Lanang dan Tok Wan.
Majalah ini adalah sebuah majalah yang mempunyai permit penerbitan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (PP16565/12/2010(026185). Ia mempunyai ketebalan 84 muka surat dan dijual dengan harga RM10 setiap naskhah. Cetakan pertama adalah sebanyak 15, 000 naskah dan akan diedarkan ke seluruh negara. Ia juga boleh dibeli secara online melalui website cartoonkafe.com atau talian 03- 22744931.
*Zunar ialah Pengarah Urusan/Ketua Pengarang Sepakat Efektif Sdn Bhd.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan