Dua perkataan di atas; kemenangan dan kebenaran mempunyai konotasi yang amat berbeza.
Di satu segi, perkataan menang itu mencakupi keinginan atau hasrat seseorang pemimpin untuk menang dalam persaingan dengan lawannya dengan penuh bergaya. Pendek kata, maruah dan prestij mereka menjadi keutamaan.
Manakala perkataan kebenaran pula dikaitkan dengan kesungguhan sekumpulan pemimpin-pemimpin untuk memperjuangkan sesuatu yang benar dan tidak bertentangan dengan conscience diri mereka. Persoalannya, berapa ramai pemimpin-pemimpin yang memiliki sikap sedemikian?
Dalam arena politik di negara kita, jurang antara kedua-dua prinsip itu sebenarnya amat luas malah jika dilihat secara dekat, ia tidak mungkin dapat co-exist secara bersama. Ini kerana sikap manusia yang lebih cenderung untuk bermegah-megah, ego dan mahu mencapai sesuatu yang lebih baik bagi memuaskan nafsunya. Kesudahannya, conscience dan prinsip hidupnya diketepikan.
Contoh terbaik yang saya dapat berikan mengenai perkara ini adalah pemimpin politik. Tak kiralah dari parti mana mereka berada, kebanyakan kalau bukan semua secara kelazimannya lebih berminat untuk mengejar harta kekayaan selain status dan pangkat. Bagi mereka, inilah jalan pintas ke puncak kekuasaan dan mengekalkan kelangsungan mereka.
Kemenangan dalam sesuatu persaingan menjanjikan pulangan yang berprestij. Pemimpin yang menang itu akan dilihat sebagai seorang pemenang, seorang yang berpengaruh lagi kuat serta menjadi kingmaker kepada percaturan politik parti yang disertainya.
Tetapi adakah keinginan untuk mengejar kemenangan begitu penting sehinggakan prinsip menegakkan kebenaran perlu diabaikan? Para pemimpin politik hari ini seolah-olah tergoda dengan nilai-nilai kebendaan dan duniawi yang pada akhirnya boleh menyesatkan mereka.
Prinsip hanya tinggal prinsip semata-mata sementara undang-undang rimba menjadi ikutan di sana sini. Krisis dalaman MCA yang kita saksikan ketika ini merupakan contoh terbaik bagi memperjelaskan persoalan berkenaan. Selama lebih lima bulan MCA dilanda kemelut yang semakin hari semakin kusut, pelbagai gelagat pemimpin dapat diperhatikan.
Para pemimpin parti yang dahulunya membisu sahaja, kini mula menonjolkan diri. Namakan sahajalah elemen-elemen buruk seperti cemburu, berdendam, kebencian bahkan juga rakus kuasa – semuanya mula menjadi-jadi.
Tak kurang juga mereka yang keluar mengumumkan kepada media bahawa mereka berhasrat untuk bertanding jawatan tertentu dalam parti sekalipun parti dibelenggu masalah besar. Lebih dikesali, kesemua insiden ini berlaku ketika MCA masih mempunyai seorang Presiden yang dipilih secara sah. Semuanya ini seolah-olah memperlihatkan mereka sudah tidak menghormati Tee Keat sebagai Presiden Parti.
Episod tikam-menikam antara fraksi pemimpin yang anti-Presiden MCA merupakan detik-detik hitam dalam sejarah parti yang sudah pun berusia lebih enam dekad. Orang yang kena tikam itu bukan kena sekali tetapi dua kali. Mungkin disebabkan Presiden MCA itu lebih berminat untuk menumpukan kepada tugasannya, maka mereka berpandangan bahawa beliau mudah untuk ditikam.
Tidak terlintas dalam fikiran bahawa perkara sedemikian rupa akan berlaku. Tetapi kepada pengkritik dan mereka yang anti-OTK, ‘tikaman’ ini adalah sesuatu yang wajar. Benarlah kata Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama satu ketika dahulu bahawa politik sememangnya cukup kotor. Mereka yang tidak mempunyai kemahiran untuk berpolitik dan tidak berkemampuan untuk menghadapi taktik-taktik kotor dan tekanan, usahlah menjadi politikus.
Ia tidak mengira siapa dan status anda. Selagi pemimpin tersebut menjadi penghalang kepada cita-cita atau agenda pihak berkepentingan, pemimpin berkenaan akan ditentang. Dalam diri pemimpin-pemimpin terbabit, wujudkah lagi prinsip untuk memperjuangkan kebenaran?
Kebenaran adakalanya menyakitkan. Pepatah Inggeris ada menyatakan: “The truth hurts.’’ Para pemimpin, kebanyakannya lebih cenderung untuk mendengar kata-kata yang sedap untuk didengar. Memperjuangkan kebenaran menuntut kesungguhan dan keikhlasan pemimpin itu untuk berjuang habis-habisan sekalipun menyedari perjuangan ini sukar dan tidak popular.
Seorang pemimpin yang benar memperjuangkan kebenaran tidak akan sesekali berundur ke belakang. Apa jua onak dan duri akan dihadapinya dengan penuh tabah. Berundur ke belakang hanya memberi gambaran kepada masyarakat umum bahawa dirinya hanya cuba lari daripada tanggungjawabnya.
Yang pasti, hakikat sebenar tidak akan lari. Fakta tetap fakta. Kebenaran tetap akan terbongkar pada akhirnya. Kini, terpulanglah kepada para perwakilan untuk membuat pilihan terbaik pada 28 Mac ini.
Jika mereka merasakan seorang pemimpin parti yang berpengaruh tetapi sarat dengan masalah kredibiliti lebih sesuai untuk menerajui MCA, itu adalah pilihan mereka. Mereka seharusnya bertanggungjawab di atas pilihan yang dibuat kelak sekiranya berlaku sedikit kesulitan. Dan prinsip yang sama perlu diaplikasikan jika perwakilan memutuskan untuk memilih seorang pemimpin yang disegani.
Kewibawaan dan kebijaksanaan para perwakilan bakal teruji pada 28 Mac ini. Yang manakah lebih penting ; mengejar kemenangan atau mencari kebenaran? Tepuk dada, tanyalah selera!
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist
-the malaysian insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan