Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sekali lagi adalah lebih baik kehilangan Ahli Parlimen atau Exco daripada mengekalkan anggota yang bermasalah dan seterusnya merosakkan masa depan parti.
“Kalau kita nampak Exco goyang macam di Kedah, Exco itu daripada KEADILAN, saya minta Datuk Seri Azizan (Menteri Besar) panggil dia dan bagi amaran. Keluar fail hari ini, panggil dia tunjuk fail minggu depan dia lompat, lebih baik lompat daripada kekal menjadi barah dalam parti kita. Jadi kita tahu sebab apa dia lompat sebab dia ada kes.
“Saya minta maaf sebab ada calun-calun kita yang macam itu tapi Azizah (Presiden KEADILAN) kata ini adalah pembersihan,” kata Anwar merujuk kepada langkah beberapa bekas Ahli Parlimen KEADILAN yang lompat parti menjadi anggota Bebas termasuk bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Seputeh.
Berucap kepada lebih 8,000 penyokong yang hadir pada ceramah anjuran Pakatan Rakyat di kampung Air Tawar di Mersing, Johor malam tadi, Anwar mengaitkan dengan keadaan politik negara masa kini dengan pelajaran hijrah yang di bawa oleh Rasulullah SAW.
Kata Ketuam Pembangkang itu masyarakat Islam yang pertama diwujudkan di Madinah oleh Rasulullah SAW dianggap sebagai “ecumenical community par excellence” oleh sarjana Islam, Allahyarham Dr Ismail Faruqi iaitu komuniti Islam yang bertaut kepada tauhid serta mengamalkan ajaran serta nilai Islam sebenar dalam kehidupan mereka..
“Ini bermakna Rasulullah telah mewujudkan masyarakat Islam yang bertaut kepada tauhid bukannya hanya bercakap mengenai Islam tapi kaut kekayaaan berbilion ringgit, cakap pasal Islam tapi rasuah, berarak dan bersalawat ke atas Nabi SAW tapi melakukan kezaliman, mengaibkan orang dan sebagainya. Islam apakah ini?
“Sebab itu pelajaran daripada hijrah Nabi SAW ialah apabila kita hendak memilih pemimpin mestilah pemimpin yang mempunyai akhlak yang baik,” tekan Anwar.
Tambah Anwar dalam menyampaikan dakwah serta menyedarkan masyarakat mestilah dituruti dengan amal soleh.
“Kalau tidak orang berarak kita berarak, orang faham kita tidak faham, tahap kemaksiatan masih banyak, kita bicara pasal Islam tapi rasuah masih banyak, kita berbicara pasal Islam tapi kita tindas rakyat sendiri, kita bercakap pasal Islam tapi kita kumpul kekayaan untuk diri dan keluarga kita.
“Islam itu hebat tetapi ketinggiannya di mana – pada bicaranya atau amalan? Kita minta pemimpin DAP umpamanya supaya hormat kepada orang Melayu dan Islam tetapi hormatnya di mana – kerana kita ada kuasa, kerana kita ini Melayu dan ini negeri kita ataupun kerana akhlak dan kekuatan moral kita?” tegas Anwar lagi.
Sambil mengambil iktibar daripada sejarah Hijrah Anwar berkata Rasulullah SAW diutuskan kepada manusia dengan berpaksikan kepada “uswatun hassanah” iaitu kekuatan aqidah dan keperibadian baginda.
“Baginda tidak membezakan antara yang di bawah dan yang di atas, hukum itu hukum yang satu, salah bagi menteri salah bagi rakyat, curi salah bagi orang besar salah juga bagi orang biasa, rasuah RM50 yang diambil oleh polis salah, RM500 juta yang diambil oleh menteri pun salah. Itulah yang dikatakan kekuatan “uswatun hassanah”.
“Hijrah atau pindah ini adalah satu perjuangan dan perjuangan itu tidak sama dengan ungkapan, tidak sama dengan keindahan melakar kata yang memerlukan pengorbanan,” jelas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Mengambil pengajaran daripada sejarah kehidupan pahlawan Islam berbangsa Kurdish, Salahuddin al Ayubi, Anwar berkata pemimpin Islam ini juga menyambut peristiwa Hijrah tetapi dengan tujuan menanamkan roh perjuangan bukan untuk berseronok-seronok.
“Roh perjuangan itu kemudiannya dikumpulkan sebagai kekuatan Islam raksaksa dan beliau dapat tawan semula Baitul Muqaddis dalam peperangan dengan King Richard “The Lion Hearted”. Apa pengajarannya, kita kena pilih pemimpin yang akhlaknya baik yang tidak guna kekayaan, tidak guna kuasa merampok kekayaan dalam negeri.
“Katakan 2004 saya bebas dan bincang dengan Azizah “sudahlah abang ni pun dah tua, dah masuk penjara, kita pencen dahlah kita pi sokonglah Pak Lah Badawi pemimpin yang terulung di dunia, Najib dan Rosmah pasangan yang cukup indah gemilai”, saya sekarang bukan Datuk Seri Anwar tapi Tun Anwar Ibrahim yang dipuji dan dipuja,” kata beliau secara sinis.
Anwar berkata walaupun beliau terpaksa merengkok dalam penjara selama enam tahun tetapi keadaan negara tidak berubah malah bertambah buruk.
“Dengan kudrat yang Tuhan bagi saya teruskan perjuangan sebab saya tengok banyak kepincangan, enam tahun saya dalam penjara dasar ekonomi lebih baik, dak jugak, rasuah kurang, dak jugak, tetapi apabila saya keluar penjara saya lawan tetap lawan!
“Apa yang telah menjadikan budaya kita yang jadi lesu, takut, lemah dan hancur?
Anwar menyeru rakyat Malaysia supaya segera menyertai Pakatan Rakyat sebagai ahli dan juga pengundi demi memikul tanggungjawab besar bagi membuat mengubah dan membaiki segala kepincangan dan penyelewengan di bawah pentadbiran Umno-BN.
-Lawan Tetap...Lawan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan