Seorang penyokong kerajaan berkata Anggota Parlimen sepatutnya merasa malu apabila Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam sekali lagi menegur tingkah laku yang tidak mencerminkan keperibadian sebagai seorang wakil rakyat.
“Malu kita sebagai wakil rakyat apabila ditegur oleh Tuanku Mizan Zainal Abidin, dua penggal berturut-turut, yang menunjukkan betapa Tuanku serius dalam soal ini,” kata Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) ketika membahas usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat di sini.
Mengulas titah ucapan Seri Paduka Baginda yang menyentuh soal sifat dan perilaku sesetengah wakil rakyat, Ismail berkata dalam titah ucapan itu, Tuanku Mizan telah menzahirkan ungkapan dukacita sebanyak tiga kali.
Pertama, katanya, ialah berkaitan tindakan beberapa pihak dalam dan luar negara yang mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh sehingga menggadaikan ketenteraman awam dan maruah negara.
Yang kedua ialah mengenai banyaknya perbuatan fitnah, pembohongan dan putar belit fakta terutama dalam media baru, dan yang ketiga, ialah dalam soal sifat dan perilaku Anggota Parlimen yang tidak mencerminkan keperibadian seorang wakil rakyat.
Ismail berkata, dalam titah ucapan itu juga, Tuanku Mizan turut menyentuh soal perpaduan dan saling menghormati antara kaum dan agama, serta kebebasan bersuara lebih-lebih lagi dalam media baru seperti blog.
Beliau juga berkata rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana Raja-raja Melayu di negara ini cukup menjaga keperluan rakyat.
Katanya titah ucapan Seri Paduka Baginda telah menyentuh secara komprehensif hal-hal berkaitan nikmat kemakmuran, keselamatan dan keamanan yang dikecapi negara selain gagasan 1 Malaysia, enam Bidang Keberhasilan Utama Negara, pemulihan ekonomi, subsidi dan model ekonomi baru. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan