Pengikut

Rabu, 24 Mac 2010

Human Rights Watch Desak Gugurkan Kes Anwar

Pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch, mendesak kerajaan Malaysia supaya menggugurkan semua pertuduhan yang dianggap bermotifkan politik berhubung perbicaraan terbaru terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenytaan yang dikeluarkan di New York semalam, pertubuhan antarabangsa yang berpengaruh itu berkata tindakan mahkamah menafikan pasukan peguambela Ketua Pembangkang itu daripada mendapatkan bahan bukti kritikal yang kini dalam simpanan pihak pendakwaan disamping penerbitan bahan bukti di dalam sebuah akhbar milik parti pemerintah, menimbulkan kesangsian serius samada Anwar akan mendapat perbicaraan yang adil.

Kerajaan Malaysia seharusnya menghentikan permainan terhadap proses keadilan dan menggugurkan caj terhadap Anwar. Pada setiap langkah mahkamah telah menghalang usaha pasukan peguambela Anwar untuk menyediakan pembelaan yang tuntas,” kata Phil Robertson, Timbalan Pengarah Asia, Human Rights Watch.

Menurut pertubuhan itu lagi beberapa keputusan mahkamah dilihat menjurus kepada tindakan melemahkan proses penyediaan pembelaan.

Peguambela Anwar telah dinafikan akses kepada sampel spesimen DNA sebelum perbicaraan bermula, kenyataan plaintif dan saksi penting pendakwaan, nota doktor yang memeriksa Saiful serta salinan asli pita rakaman CCTV daripada kondominium di mana kejadian di dakwa berlaku.

Walaupun setelah perbicaraan bermula pada 2 Februari 2010, mahkamah sekali lagi membuat keputusan tidak membenar pihak pembelaan mendapatkan senarai saksi pihak pendakwaan apatah lagi kenyataan mereka.

Human Rights Watch amat bimbang mengenai campur tangan politik Barisan Nasional di dalam perbicaraan ini. Mahkamah tidak langsung mengambil sebarang tindakan terhadap artikel yang disiarkan di dalam Utusan Malaysia, sebuah akhbar yang dimiliki Umno yang melaporkan maklumat berhubung perbicaraan tertutup semasa lawatan ke kondominium tersebut.

Penerbitan maklumat yang tidak sepatutnya didedahkan dalam akhbar milik parti pemerintah adalah langkah yang amat mengejutkan dan dilihat sebagai campur tangan kerajaan di dalam kes Anwar.

Ini adalah contoh terbaru bagaimana kerajaan ingin memainkan peranan utama dalam sebuah perbicaraan melibatkan seorang Ketua Pembangkang,” kata Robertson lagi.

Human Rights Watch juga memberikan beberapa contoh campur tangan kerajaan sepanjang tempoh 20 bulan sejak kes ini bermula.

Campur tangan paling ketara ialah apabila Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memindahkan kes tersebut daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada Mac 2009.

Langkah itu dilihat mengekang hak membuat rayuan sekiranya pihak defendan kalah dalam perbicaraan kelak.

Ketika Peguam Negara mengeluarkan arahan tersebut, beliau juga pada masa yang sama adalah di bawah siasatan Suruhanjaya

Pencegahan Rasuah Malaysia atas dakwaan merekacipta bukti berhubung kes liwat pertama terhadap Anwar.

Kenyataan dua muka surat itu menambah Anwar boleh dipenjarakan 20 tahun dan dihukum sebat sekiranya sabit kesalahan. Walaupun beliau dipenjarakan hanya satu hari atau didenda sekurang-kurangnbya RM2,000 Anwar akan dihalang daripada bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun.

Human Rights Watch juga bimbang mengenai cara penyiasatan pihak berkuasa dan pertuduhan yang dibuat. Saiful tidak diperiksa sehingga 48 jam setelah dakwaan kejadian dan doktor pertama yang memeriksa beliau dari Hospital Pusrawi Kuala Lumpur mendapati tidak ada sebarang bukti penembusan di bahagian dubur Saiful. Saiful kemudiannya pergi ke sebuah hospital kerajaan di mana beliau diperiksa oleh tiga pakar.Mereka juga tidak membuat kesimpulan ‘tidak ada bukti klinikal yang konklusif yang menjurus kepada penembusan di bahagian dubur dan tidak ada sebarang tanda kecedaraan dibadan pesakit’.

Saiful pada mulanya mendakwa beliau diliwat tetapi apabila yang dituduh adalah Anwar, seorang yang sudah berumur serta mempunyai masalah tulang belakang, Saiful telah menukarkan pertuduhan beliau kepada ’seks suka sama suka’,” jelas kenyataan itu lagi.

Robertson berkata badan kehakiman Malaysia akan tercemar dengan meneruskan perbicaraan yang segaja diadakan terhadap Ketua Pembangkang negara.

Daripada mempolitikkan mahkamah dan menafikan hak mendapatkan perbiacraan yang adil, kerajaan Malaysia harus menghentikan permainan politik kotor, gugurkan semua pertuduhan terhadap Anwar dan kembalikan politik kepada tempatnya hak iaitu di dalam Parlimen, kata beliau lagi.


Dari Suara KEADILAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan