Pemilihan peringkat pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) melibatkan penyertaan setiap ahli peringkat akar umbi, yang sepatutnya diadakan Mei ini ditangguhkan sehingga hujung tahun.
Justeru pemilihan akan diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Mei bagi membolehkan parti membuat persiapan selepas pindaan perlembagaannya diperakui Pendaftar Pertubuhan (RoS) baru-baru ini.
Dipercayai ia akan diadakan November ini selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Penangguhan telah diluluskan oleh Majlis Pimpinan Pusat dan Biro Politik PKR baru-baru ini.
Difahamkan kepimpinan cabang juga telah diberikan taklimat mengenai perkara tersebut.
Setiausaha Agung PKR yang baru Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan mengadakan kongres seperti biasa pada Mei ini tetapi pemilihan akan diadakan hujung tahun.
Dalam pada itu beliau yang ditemui di Rantau Panjang malam tadi berkata mesyuarat agung tahunan cabang akan diadakan mulai 1 hingga 31 Mac ini manakala kongres nasional pada Mei.
“Ini tidak melibatkan sebarang pemilihan. Pemilihan jawatan hanya akan berlaku pada konvensyen diadakan penghujung tahun ini,” kata beliau.
Dua minggu lepas, RoS telah meluluskan pindaan perlembagaan parti berkenaan yang akan digunakan mulai sekarang.
Perlembagaan baru itu antaranya ialah memberikan hak mengundi kepada setiap ahli parti.
Jika ia dilakukan PKR akan menjadi parti pertama berbuat demikian di negara ini.
“Maknanya seramai 460,000 ahli berhak mengambil bahagian dalam pemilihan pimpinan Keadilan di pusat. Setiap orang itu akan diberikan hak mengikut perlembagaan baru ini untuk memilih dan menentu kepimpinan pusat.
“Mungkin ini satu penstrukturan kepimpinan Keadilan akan memberi kuasa dan hak kepada setiap ahli untuk menentukan kepimpinan sekali gus konsep ini akan menjadikan Keadilan adalah parti politik yang pertama dalam negara kita mempraktiskan konsep ini.
“Saya percaya, dengan memberikan hak demokrasi secara langsung kepada setiap anggota parti, parti ini akan didokong oleh individu kepimpinan yang betul-betul memenuhi cita rasa rakyat,” katanya.
Dalam pada itu Saifuddin membidas kerajaan Barisan Nasional (BN) yang seringkali melaungkan perubahan, namun hanya dalam bentuk kosmetik tetapi isi dalamnya sama kerana agendanya masih lagi didasari politik perkauman.
“Zaman Mahathir, Pak Lah, termasuklah Najib sekarang ini isi kandungan agenda politik mereka masih lagi didasari politik perkauman, politik permusuhan, politik adu domba. Politik yang tidak menghormati prinsip federalisme.
“Menafi hak-hak negeri. Prinsip membelakangkan kepentingan rakyat,” katanya.
Mengulas kemungkinan Pakatan Rakyat akan membuat laporan polis mengenai kapal selam negara pertama yang dibeli tanpa mengikut spesifikasi berikutan berlakunya kecacatan, beliau berkata, ini episod pertama yang memalukan.
Beliau berkata sama ada akan membuat laporan polis atau tidak mengenai perkara itu ia akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa Kabinet bayangan Kementerian Pertahanan Pakatan Rakyat.
“Tapi pada sidang Parlimen pertengahan Mac ini kita akan jadikan sebagai platform terbaik mencadangkan agar satu kertas putih di peringkat kementerian dapat diusahakan segera bagi menjelaskan perkara-perkara ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan