Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas masih ada orang Melayu yang “hidup dalam hipokrit” dengan mendakwa wujudnya golongan nasionalis yang sanggup menolak dasar Islam dituntut oleh Nabi Muhamad SAW.
Menurut Nik Aziz (gambar), fenomena itu antara lain berpunca kerana wujudnya fahaman “agama suku politik suku.”
“Ambil kebangsaan, tolak Islam... ini satu kecelakaan besar menimpa orang Melayu. Orang-orang begini selalunya hidup dalam hipokrit.
“Bila orang bercakap pasal Islam mereka juga kemain lagi turut mempertahankan dasarnya juga membela Islam.
“Tapi dalam masa yang sama mereka jugalah yang menentang gerakan atau perjuangan Islam, Apa ini...?” kata beliau ketika menyampaikan kuliah mingguannya pagi ini.
Tegasnya, demikian padahnya ekoran penerimaan Islam tidak melalui tuntutan sebaliknya berasaskan tradisi atau keturunan datuk nenek dahulu kala yang dikatakan beragama Islam.
Sehubungan itu beliau mengingatkan orang ramai termasuk ahli PAS dan Umno hakikat kehidupan manusia akan dibangkitkan kembali sesudah mati.
Oleh itu setiap perkara yang dilakukan di atas muka dunia wajib berasaskan kepada al-Quran dan sunah.
“Tak kira PAS, Umno semua akan mati. Selepas mati akan dihidupkan semula. Dan hidup sesudah mati ini kita tidak akan dihantar ke kampung kita sekarang ini dah, tetapi akan berhadapan dengan hisab di mahkamah Allah Taala.
“Di situ kita akan menerima segala balasan azab atau sebaliknya daripada apa yang kita lakukan semasa hidup di dunia, tidak kira samaada dia rakyat biasa lebih-lebih lagi pemimpin.
“Kalau di dunia kita dah tolak Islam, apa realitinya untuk kita berhadapan dengan penghakiman Allah kelak (hari akhirat)? Jawabnya tak ada. Maka di situ laknat serta azab sebagai balasannya,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan