Telah penulis catatkan beberapa kali bahawa Umno gentar serta gusar dengan Politk Baru. Benar bahawa PRU ke-12 telah menyaksikan penghakisan sokongan Umno/BN paling parah dalam sejarah politik pilihanraya. Tetapi kesemua itu tidak sepenting satu hakikat yang sering menerjah mereka. Hakikat wujudnya satu lagi koalisi yang disifatkan sebagai ‘kerajaan dalam penantian’ atau ‘government-in-waiting’.
Kalau ada yang marah atau menelah bahawa penulis bersekali Pakatan Rakyat terlalu ghirah untuk memerintah kerajaan Persekutuan, penulis sayugia perjelaskan. Penulis tidak kata perubahan besar pasti berlaku pada PRU ke-13 ini. Tetapi potensi untuk perubahan berlaku amat besar kedepan ini.
Nah, ini hakikat baru yang tidak pernah terjelma dalam telahan unjuran politik negara. Satu dekad lalu, sebutan ini hampir asing bahkan satu dongengan. Tidak ada parti dan kerajaan yang layak memerintah kecuali kerajaan Umno/BN mungkin sampai qiyamat. Kalau ada pun ‘kerajaan pembangkang’, satu istilah paradoks, ia hanya terbatas di negeri pantai Timur, Kelantan dan Terengganu.
Bagaimana ia menjadikan satu realiti adalah perubahan besar yang berlaku selepas topografi atau landskap politik negara terus berubah setelah tsunami politik melanda ganas negeri-negeri Umno/BN di pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Politik Baru berkehendak untuk mendefinisi semula pelbagai tata-orde perhubungan politik; amalan federalisme dan gelagat cabang legislatif serta suhu perbahasan di parlimen, kerancakan persaingan media mengolah lambakan isu dalam usaha mempengaruhi pemikiran awam di pasaran bebas pertarungn ide.
Juga begitu tuntutan terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban menjadi ukuran sehingga tidak apa yang mampu diselindungi oleh akta-rimba seperti OSA atau ditakutkan Ordinan Dharurat serta ISA. Lambat laun terdedah jua seperti PKFZ, ibu segala skandal. Hari ini dalam Politik Baru, kebebasan beragama, penjalinan perpaduan dan erti merakyatkan kekayaan khazanah negara serta pemunggaran ekonomi berprestasi tinggi, tiba-tiba mendapat dimensi baru bahkan lebih bermakna serta bererti lagi.
Pencairan pelbagai doktrin lama,umpama dibidang ekonomi, menggugat segelintir yang mengecapi laba besarnya selama kini. Istilah ‘liberalisasi’ cukup ditakuti kerana menjejaskan orde hubungan sumbang elit politik-korporat kroni kesekian lamanya. Mereka bingkas bangun melaungkan ‘kepentingan Melayu’ (baca Umnoputera) terhakis.
Umno dan BN tidak wajar tertekan dan kaget dengan kesemua fenomena ini. Benar Umno/BN belum pernah menyaksikan sejumlah seramai 83 ahli parlimen pembangkang di Dewan Rakyat. Tidak juga mereka mengerti menjadi pembangkang di negeri-negeri selain Kelantan dan Terengganu. Umno/BN tidak pantas belajar.
Menghampiri 2 tahun sebagai sebuah kerajaan Persekutuan dalam era Politik Baru, PM Najib serta kerajaan Umno/BN masih belum menjumpai sentuhan mereka sebagai elit politik yang satu ketika hampir merupakan kuasa absolute, tunggal dan hegemonik. Tidak lagi kini. Tetapi tetap PM Najib dan Umno/BN semacam tidak faham, tidak mahu faham, buat-buat tidak faham atau juga tidak akan faham.
Penulis ingin berkongsi satu telahan tesis. Agak lama juga lontaran ini mahu dibuat tetapi atas banyak sebab ia tertangguh. Tulisan ini dilakukan semata-mata untuk kebaikan bersama atas kehendak semangat persaingan demokrasi yang sihat dan matang bagi membawa negara ke mercu tanda dan garis prestasi yang lebih baik.
Najib dan Umno tidak wajar untuk terus menjatuhkan Pakatan Rakyat dengan serangan-serangan cara lama dalam era Politik Baru ini. Benar Umno/BN mungkin boleh berjaya, bahkan dah berjaya pun di Perak. Tetapi apa akibatnya? Betul mereka boleh membeli beberapa peribadi. Betul juga kerajaan boleh diguling. Tetapi apa risikonya?
Kini Perak akan kekal dalam satu ‘standoff’, satu ‘stalemate’ berpanjangan sehinggalah datang waktu untuk kembali kepada Mahkamah Rakyat. Mudaratnya terlalu luar biasa. Wibawa Sultan dan bahkan ‘integriti’ Istana turut terheret mencemar ke bawah duli, kedaulatan Sultan akibat terjerumus dalam ‘real-politik’ rakyat. Umno kurang ambil pusing semua itu.
Benar politik pelbagai parti atau sistem ‘multi-party’ ala Westminster atau apa pun modelnya, punya sifat ‘zero-sum’ atau ‘saling-memusnah’. Pertandingan di mana hanya ada satu pemenang, pada sifatnya memang ‘zero-sum’ – cukup ganas dan destruktif atau bertujuan memusnah lawan.
Umno/BN kini sedar bahawa yang didepani bukan sahaja PKR, PAS atau DAP secara berasingan. Umno amat insaf bahawa yang didepani kini ialah gandingan PKR, DAP dan PAS, yang kini merupakan satu politik koalisi yang disebut dengan jolokan Pakatan Rakyat, seperti juga Barisan Nasional mereka yang punya 14 komponen.
Umno/BN pernah berdepan dengan ‘mahkluk koalisi’ ini pada parlimen ke-10, tetapi mudah dijatuhkan apabila mufakat politik itu sendiri menembak dirinya masing-masing. Habis bergelempangan sebelum PRU ke-11. PAS dan rakan-rakan lain dalam Barisan Alternatif (BA) masih tidak mahu menghimbau sejarah buruk pembangkang itu. Biar ia jadi sempadan politik yang wajib dijauhi. Umno tidak perlu menyerang sehebat kini kerana BA mati berkonflik dan berbunuh sesama sendiri. Amat tragis bagi rakyat.
Tetapi lain halnya kini. Dulu DAP tak punya kuasa di negeri, Pun begitu Parti Keadilan Nasional dulu. Kini kesemua menerajui pemerintahan meskipun dalam semangat dan koalisi Pakatan Rakyat. Kuasa bukan segala-galanya. Tetapi jelasnya kuasa adalah segala-galanya yang mendatangkan keinsafan untuk bersatu bagi mengekalkannya. Tidak dapat dinafikan bahawa kuasa pemerintahan pendorong utama kesatuan Pakatan Rakyat, bahkan kuasa ini juga pencetus utama penubuhan Pakatan Rakyat. Itu hakikat, jangan berselindung lagi. Lihat sahaja pengalaman di negeri Perak, meskipun kuasa hilang akibat angkara Najib dan Umno/BN. Hakikatnya Peraklah semantapnya keteguhan Pakatan Rakyat!
PM Najib akan terus silap kalau belum lagi belajar dan sedar bahawa ini Politik Baru. Kaedah peperangannya pun wajar ditukar dan strateginya memerlukan pemikiran baru.
Penulis mengesyorkan PM Najib perlu mendapatkan perunding baru dalam penentuan strategi dan pendekatan perang politiknya. Bukan sahaja melibatkan perunding luar untuk mengukir slogan indah 1Malaysia. Sebelum itu biar penulis ‘bersedekah’ ide supaya ia baik untuk semua. Tampaknya komoditi ide sangat mahal mutakhir ini. Lebih ramai yang suka bercakap dari berfikir.
Telah sampai masanya PM Najib sedar bahawa rakyat juga turut bosan dengan serangan berterusan bagi menjatuhkan Pakatan. Rakyat mual dengan berpolitik khususnya dalam suasana ekonomi yang mandom dan kesulitan hidup yang terus menghempit rakyat teramai.
Najib serta Umno/BN wajar memahami bahawa kini rakyat kian celek dan punya pengetahuan kecuali yang masih terperangkap dalam kemiskinan dan terpinggir dari aurs pembangunan ICT dan tidak punyai capaian media baru dan ledakan informasi.
Rakyat ‘ruang tengah’ yang menjadi penentu dalam persaingan PRU ke-13 tidaklah semestinya para penyokong Pakatan Rakyat. Golongan tegar tidak banyak berganjak, samada penyokong Umno/BN atau Pakatan. Golongan Tengah ini mereka terbuka bahkan mereka bukan kelompok partisan atau berpihak. Mereka hanya partisan atau berpihak kepada apa yang betul, apa yang adil dan apa yang boleh memajukan pengharapan dan cita-cita mereka. Mereka terbuka, jauh lagi untuk ta’asub kepada mana-mana parti atau pemimpin. Semua pihak mereka kritik termasuk pimpinan tertinggi Pakatan dalam PAS, PKR atau DAP. Pimpinan negara lagilah teruk mereka belasah.
dari:www.themalaysianinsider
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan