Pengikut

Sabtu, 2 Januari 2010

PR gesa kerajaan mansuh BTN.

Pakatan Rakyat (PR) menggesa kerajaan memansuhkan kursus Biro Tata Negara (BTN) dan menggantikannya dengan kursus yang lebih sesuai, selaras dengan konsep, falsafah serta prinsip asas 1Malaysia.

Pengarah Strategi PKR, Tian Chua berkata, inisiatif kerajaan untuk mendapatkan khidmat lebih ramai fasilitator bukan Melayu di BTN tidak memadai untuk menyembunyikan hakikat bahawa terdapat unsur rasis pada program tersebut.

Kerajaan seharusnya lebih peka dan memberi keutamaan kajian kepada kokurikulum BTN yang didakwa mempunyai unsur rasis. Namun sehingga kini masih tiada usaha ke arah itu.

Lebih baik ianya dimansuhkan dan diganti dengan kursus lain yang lebih sesuai dengan keadaan semasa dan membantu ke arah perpaduan kaum,” katanya semalam.

Beliau berkata, usaha kerajaan cuba mendapatkan khidmat lebih ramai fasilitator bukan Melayu di BTN membuktikan kerajaan mengakui kesilapan dalam pelaksanaan program tersebut.

Rakyat keliru dengan pelaksanaan program BTN yang dikatakan berunsur rasis. Namun jika perkara itu tidak benar, mengapa sehingga kini tiada usaha kerajaan memberi penerangan kepada rakyat mengenai hal itu,” katanya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, perubahan yang dilakukan oleh kerajaan terhadap kursus BTN hanyalah bersifat ‘kosmetik’ sedangkan ianya tidak mencapai matlamat utama.

Pelawaan fasilitator bukan Melayu itu tidak dapat menyelesaikan isu utama. Apa yang diperlukan ialah kaedah lebih komprehensif dan memberi manfaat kepada rakyat memandangkan program itu dijalankan dengan wang rakyat,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap fasilitator bukan Melayu akan menyahut pelawaan menyertai BTN secara sukarela kerana sebelum ini agak sukar untuk mendapatkan campuran pelbagai kaum untuk mengisi pelbagai jawatan dalam organisasi kerajaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan