Tidak semena-mena Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak memaklumkan bahawa pihaknya akan mempamerkan nama-nama mereka yang telah mendaftar sebagai pemilih baru dan pertukaran alamat tempat mengundi bermula dari 1 Julai 2009 hingga 30 September 2009.SPR di negeri-negeri lain tidak pula membuat pengumuman rasmi seperti ini.
Adakah ini petanda baru DUN Perak akan dibubarkan untuk memberi laluan kepada SPR mengadakan pilihanraya negeri bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu yang berlanjutan sehingga sekarang.
Pelbagai pihak berpendapat tidak mustahil pilihanraya negeri akan diadakan pada masa terdekat jika BN yakin mereka akan menang mutlak di Perak. Mungkin BN mengambil kira kemenangan mereka di Bagan Pinang sebagai indikator bahawa rakyat sudah kembali menyokong mereka dan inilah masanya untuk mendapat mandat baru dari rakyat.
Bagi pihak Pakatan Rakyat mereka mesti bersedia dari sekarang untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Sila semak daftar pemilih terbaru tersebut untuk memastikan ianya bersih dan telus.
Sementara itu Timbalan Pengarah Pilihan Raya Negeri Perak, Che Wan Muhammed Salleh Wan Adnan dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka yang telah mendaftar pada tarikh tersebut diminta untuk menyemak nama di tempat-tempat berikut iaitu pejabat SPR Perak, pejabat Pos, pejabat penghulu dan pejabat-pejabat daerah.
Tempoh pameran selama seminggu bermula 20 hingga 26 Oktober, katanya.Katanya sebarang pertanyaan boleh menghubungi pejabat-pejabat pilihan raya negeri Perak di nombor telefon 05-24 94 113, 05-24 94 120 dan 05-24 94 121
Tiada ulasan:
Catat Ulasan