Pengikut

Isnin, 21 Mei 2012

Mahasiswa mahu letak calon PRU13

Dilihat sebagai perkembangan terbaru dalam arena politik tempatan, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), pergerakan tidak formal pelajar institut pengajian tinggi, memutuskan untuk meletakkan wakil mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pendirian itu diputuskan dalam sesi pemukiman dua hari pergerakan mahasiswa itu yang berakhir semalam.

Setiausaha SMM, Haziq Abdul Aziz berkata, pihaknya akan menurunkan wakil mereka sama ada sebagai calon Bebas ataupun bertanding atas tiket mana-mana parti komponen Pakatan Rakyat (PR).

"Buat masa ini kami sudah pun memutuskan untuk bertanding dalam pilihan raya umum. Yang pastinya, berdasarkan perkembangan semasa, kami akan bertanding sebagai calon Bebas.

"Bagaimanapun kami akan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan Pakatan Rakyat sama ada akan memberi laluan untuk bertanding," kata Haziq sambil menambah, perkara itu dimasukkan dalam senarai tuntutan pihaknya menghadapi PRU13, yang disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

"Kami akan menampilkan calon untuk bertanding, mahu membawa suara mahasiswa, golngan pelajar," katanya.

Mengenai bilangan calon dan kerusi hendak ditandingi, Haziq berkata, aspek itu belum diputuskan dan akan ditentukan dalam satu mesyuarat hari ini.

"Setakat hari ini (semalam), hanya pendirian untuk bertanding dalam pilihan raya diputuskan. Yang lain belum lagi, kami akan adakan mesyuarat esok (hari ini)," kata beliau lagi.

Katanya, pihaknya akan mengadakan perundingan parti-parti politik, tetapi bukan dengan Barisan Nasional (BN).

"Kami akan menentang BN," katanya lagi.

SMM baru-baru ini mengetuai demonstrasi meminta agar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan.

Perkembangan untuk bertanding ini juga dilihat sebahagian daripada kesan pindaan ke atas Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang diluluskan baru-baru ini. - SinarHarian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan