Pengikut

Jumaat, 29 April 2011

YDP Pulau Pinang Harap Kerajaan Negeri Mantapkan Usaha Martabat Islam

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas berharap kerajaan negeri terus memantapkan usaha memartabatkan agama Islam di negeri ini.

Beliau berkata pelbagai program, projek dan aktiviti boleh dilaksanakan bagi memartabatkan agama Islam.

"Peruntukan untuk hal ehwal Islam yang disediakan bagi tahun 2011 sebanyak RM33.33 juta hendaklah dibelanjakan secara berhemah," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM36 juta untuk pembinaan Kompleks Ibu Pejabat Mahkamah Syariah Pulau Pinang.

"Saya sendiri telah mendapat taklimat daripada Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung reka bentuk kompleks ini," katanya.

Abdul Rahman berkata tawaran tender bagi projek itu akan dibuka Jun ini dan surat tawaran kepada kontraktor terpilih serta majlis pecah tanah dijadual Oktober ini.

Beliau berkata selain itu, projek pembangunan lain yang dirancang termasuk pembesaran Empangan Mengkuang yang akan dilaksanakan Syarikat China International Water & Electric Corporation (M) Sdn Bhd dengan geran daripada kerajaan persekutuan sebanyak RM1.2 bilion yang merangkumi kos pembinaan empangan dan paip utama.

"Projek ini dijangka bermula pada Jun tahun ini dan siap pada Jun 2016," katanya.

Beliau berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga telah memperuntukkan RM236 juta tahun ini bagi melaksanakan 230 projek merangkumi pembekalan elektrik kepada pengguna dan memperkukuhkan sistem bekalan elektrik sedia ada.

"TNB telah menggunapakai sistem automasi sepenuhnya di kawasan industri serta mewujudkan Pusat Kawalan Wilayah Utara dan Pusat Panggilan Setempat.

Beliau berkata kerajaan negeri juga amat berterima kasih kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) kerana meluluskan semula peruntukan asal berjumlah RM57 juta bagi pelaksanaan projek menaiktaraf infrastruktur dalam Kawasan Perindustrian Perai dan Majlis Perbandaran Seberang Perai.

"Sehingga 28 Mac lepas, projek ini telah mencapai kemajuan sebanyak hampir 65 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 14 Ogos tahun ini," katanya.

-Siasah


Tiada ulasan:

Catat Ulasan