Pengikut

Jumaat, 29 April 2011

Video seks isu peribadi, PAS tetap bersama Pakatan

Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu berkata parti Islam itu akan terus kekal bersama Pakatan Rakyat jika pun rakaman video seks yang melibatkan pemimpin kanan parti perikatan itu terbukti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menyifatkan ia sebagai pandangan peribadi, Mohamad berkata sekiranya rakaman video itu Anwar, PKR perlu membuat keputusan berhubung pendirian parti itu dan kedudukan Ketua Umum PKR itu.

“Ini masalah parti, apa kena dengan Pakatan Rakyat pula? PAS akan kekal bersama Pakatan Rakyat, ini pandangan peribadi saya tapi keputusan itu hanya akan kita buat lepas siasatan polis selesai.

“Ini melibatkan individu, bukan Pakatan Rakyat. Kalau betul, parti yang terlibat perlu buat keputusan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun tegas bekas naib presiden PAS itu, pendirian rasmi parti itu berhubung rakaman video seks yang didedahkan “Datuk T” pada 21 Mac lalu hanya akan diputuskan selepas siasatan kes itu selesai.

Tambah Mohamad, Anwar tidak boleh dibuktikan bersalah dalam kes itu kerana rakaman video seks tidak boleh dijadikan bahan bukti di mahkamah.

“Kita tunggu siasatan polis selesai dulu, selepas itu baru kita akan berbincang. Lagipun Anwar tidak boleh dibuktikan bersalah kerana dalam Islam kita perlu empat saksi.

“Saya tidak mahu ulas mengenai perkara ini. Apa yang berlaku sekarang adalah spekulasi dan kita tak mahu percaya kepada spekulasi.

“Kita tunggu siasatan keseluruhan, hasil siasatan yang dilakukan pihak berwibawa yang kita boleh terima,” katanya.

Tambah beliau, pendirian PAS dalam isu itu akan dibincangkan dalam Majlis Syura.

“Bukan saya yang buat keputusan, tentang ini ia akan dibincangkan dalam Majlis Syura... kena dapatkan pendangan mereka,” katanya.

“Datuk T”, terdiri daripada ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim telah menggemparkan negara apabila bertindak mempertontokan rakaman video seks itu kepada wakil media terpilih di hotel Carcosa Seri Negara, 21 Mac lalu.

Sehari selepas pendedahan itu, Anwar telah membuat laporan polis dan menafikan beliau adalah lelaki dalam rakaman video seks itu.

Palam sidang media itu juga, Mohamad turut menyentuh kes kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed yang ditemui meninggal dunia di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Wilayah Persekutuan pada 6 April lalu.

Kata bekas ahli Parlimen Kuala Kedah itu, keluarga Ahmad Sarbaini perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM ekoran kematian bapa lima anak itu yang disifatkan beliau tidak mendapat keadilan.

“Setelah saya menemui keluarga Allahyarham, kami daripada PAS berharap agar keluarga ini mengambil tindakan mahkamah di atas kematian seorang pegawai yang meti dalam siasatan SPRM dan tidak tahu penyebab.

“Kita berpegang Allahyarham tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah, kita memandang serius siasatan yang dilakukan SPRM ini,” katanya.

Mohamad juga menasihatkan SPRM supaya lebih profesional menjalankan siasatan dan belajar daripada negara-negara yang berjaya mengurangkan kadar rasuah.

“SPRM perlu profesional, belajar dari negara-negara yang berjaya kurangkan rasuah, saya harap keluarga Allahyarham lebih aktif dan bukan semata-mata serah kepada takdir.

“Keluarga Allahyarham perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM dan kita serah kepada peguam keluarga itu untuk menentukannya,” katanya.

Ahmad Sarbaini merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B kendalian SPRM dan beberapa agensi kerajaan yang lain.

-The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan