Pengikut

Ahad, 12 September 2010

Umno, Perkasa Berkait Rapat

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Umno supaya tidak berdolak- dalik dalam isu Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) yang sememangnya rakyat mengetahui mempunyai hubung kait rapat dengan parti itu.

Menurut Anwar Umno harus bersedia untuk menerima kritikan kerana banyak isu yang membabitkan parti tersebut dan Barisan Nasional(BN) tidak berjaya memberi keyakinan kepada rakyat terhadap kepimpinan mereka selama ini tetapi seolah-olah dipertanggungjawabkan kepada pertubuhan ekstrim Melayu tersebut.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang berkata Umno untuk tidak mahu menyokong Perkasa yang dilihat menjejaskan usaha BN untuk mendapat kembali sokongan pengundi bukan Melayu.

Kata bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu, dalam banyak perkara yang membabitkan pentadbiran negara, isu seperti pindaan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih lagi menjadi tanda tanya.

"Ketelusan yang tidak ada dalam pemberian kontrak, berleluasanya korupsi dan kronisme, sudah pasti Umno dan BN memberi ketidakadilan kepada pihak lain.

"Tindakan mereka ini bukan saja menjadi penyebab kepada hilangnya sokongan rakyat kepada mereka, malah pindaan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri yang mereka uar-uarkan tidak menjadi kenyataan.

"Yayasan Satu Malaysia yang mereka nyatakan sebagai satu yayasan ditubuhkan untuk membela rakyat hanyalah sebagai satu episod drama yang diberikan kepada kroni sendiri. Ini semua adalah keburukan yang sentiasa menjadi perhatian rakyat.

"Selama ini mereka menipu rakyat apabila berkata akan meminda ISA. Tiada apa pun yang berlaku sehingga ini. Melayu yang mereka bela adalah Melayu yang menjadi kroni mereka sedangkan Melayu yang miskin tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya," kata Anwar semasa menghadiri rumah terbuka sempena Aidilfitri anjuran KEADILAN Pulau Pinang di tapak ekspo Seberang Jaya petang semalam.

Turut hadir dalam majlis tersebut termasuk Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama empat puteri beliau, Pengerusi KEADILAN Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, Setiausaha KEADILAN Pulau Pinang, Senator Datuk Mustafa Kamal Mohd Yusoff, Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Kassim, Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain serta pimpinan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.





Oleh Nazar Hashim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan