Pengikut

Ahad, 12 September 2010

Gerakan Akui Pulau Pinang Akan Kekal Kepada Pakatan Selepas PRU-13

Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Hock Nan mengakui DAP boleh mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) satu lagi penggal dengan memenangi pilihan raya umum ke-13, tetapi parti komponen BN ini meramalkan peluang lebih baik untuk menawan semula selepas itu.
Teng juga meramalkan yang kerajaan negeri pimpinan PR tidak akan kekal berkuasa untuk tempoh yang lama.

Katanya, Ketua Menteri Lim Guan Eng yang popular tidak akan mampu untuk menerajui negeri itu selepas pilihan raya umum ke-14 ekoran pendekatan dan caranya menguruskan Pulau Pinang.

Menurut Teng, rakyat memerlukan barisan pembangkang yang kuat jika mereka mahu mengekalkan pentadbiran Lim.

“Dengan cara beliau mengendalikan kerajaan, beliau akan dilantik sebagai ketua menteri dalam pilihan raya umum akan datang tetapi bukannya dalam pilihan raya umum yang seterusnya,” kata Teng.

Mandat semasa hanya akan berakhir Mei 2013 tetapi sudah ada spekulasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan memanggil pilihan raya umum tergempar bagi peringkat Parlimen manakala kerajaan negeri dijangka mengadakannya pada waktu yang berbeza.

Bercakap mengenai isu-isu perkauman, Teng bersetuju bahawa pemimpin-pemimpin dari kedua-dua BN dan PR memainkan isu perkauman demi kepentingan masing-masing, dengan mereka yang “memegang kedudukan tinggi dalam kerajaan” lebih banyak bertindak demikian.

“Saya tidak mengatakan Umno tidak melakukannya (memainkan isu perkauman)... ramai yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan berbuat demikian,” kata beliau sambil menambah, mereka tidak kisah langsung dengan kepentingan masyarakat dan terus memainkan sentimen perkauman dengan merendah-rendahkan kaum lain.

“Mereka adalah pihak yang mengatakan kita tidak seharusnya menggunakan isu-isu perkauman untuk kepentingan politik. Anda mesti amalkan apa yang anda perkatakan,” kata beliau.

“Di satu pihak, anda kata yang ini tidak wajar dilakukan, dan di satu pihak lain, anda bertindak bertentangan dengan apa yang anda kata setiap hari,” kata Teng lagi.

Teng juga menekankan bahawa hubungan antara kaum di negeri itu semakin merosot berbanding dengan ketika Pulau Pinang diterajui oleh Gerakan antara 1969 dan 2008.

Beliau memberitahu, rakyat Pulau Pinang akan mengiktiraf usaha-usaha dilakukan oleh parti pelbagai kaum Gerakan dalam jangka panjang sekiranya ia terus memainkan peranannya di negeri itu, bukan sahaja sebagai pembangkang yang konstruktif tetapi juga parti yang menyuburkan hubungan kaum yang harmoni.

Sambil mengaku Gerakan dianggap sebagai lemah, Teng berkata, partinya telah mengambil beberapa inisiatif untuk melatih orang baru yang bersedia untuk memainkan peranan positif di negeri itu.

Teng juga berkata, beliau positif bahawa ahli-ahli Gerakan akan terus berpegang pada prinsip parti dan jika generasi muda berganding ke arah masa depan yang lebih baik demi parti itu, ia akan mampu untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada PR.

Kata Teng, walaupun beliau tidak melihat Gerakan akan mendapatkan balik negeri itu dalam pilihan raya umum ke-13, tetapi kemungkinan itu pada pilihan raya umum ke-14.

“Kemenangan adalah kepada Barisan atau parti yang mempunyai imej yang bersih dan ada kredibiliti untuk membawa kemakmuran kepada Pulau Pinang, tetapi malangnya (Gerakan) dianggap lemah,” kata Teng.

Selepas pilihan raya umum ke-12 Mac 2008 Gerakan dianggap sebagai parti yang tidak lagi relevan di negara ini.

Gerakan diberi kepercayaan untuk memegang jawatan ketua menteri sejak 1969.

Parti itu berhadapan dengan kekalahan teruk selain hanya mampu mempertahankan dua kerusi di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun Teng meminta rakyat Pulau Pinang agar memberikan Gerakan satu lagi peluang dalam pilihan raya umum akan datang untuk memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif di Dewan Undangan Negeri.

“Dalam mana-mana pentadbiran... mana-mana kerajaan, kuasa mutlak akan membawa kepada elemen salah guna. Kita menuju kepada kuasa mutlak.

“Jika anda mahu kekalkan Guan Eng lebih lama, kami merayu kepada rakyat meletakkan beberapa orang daripada kami di Dewan Undangan Negeri,” katanya.

“Kami mahu rakyat percaya pada rekod prestasi kami dan meletakkan beberapa orang daripada kami di Dewan Undangan Negeri untuk memantau kerajaan negeri agar pentadbiran Guan Eng tidak reput dengan cepat. Ia akan reput, tetapi tidak dalam waktu terdekat,” katanya lagi.



Dari The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan