Pengikut

Isnin, 26 Julai 2010

Umno Tidak Akan Berhasil Fasakhkan PAS / DAP

Ketika hiruk-pikuk media arus perdana melaporkan betapa parti-parti anggota Pakatan Rakyat berdegil mahu meneruskan penerbitan akhbar rasmi masing-masing dan melanggar arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya tidak berbuat demikian kerana permit mereka telah tamat tempoh dan tidak (atau belum) diperbaharui, ada usaha untuk mencetuskan gerakan baru di kalangan pihak tertentu yang menjurus kepada persekongkolan perkauman dan keagamaan.

Gerakan ini sebenarnya adalah usaha terdesak pihak Umno, khususnya untuk merapuhkan perpaduan dan fokus politik Pakatan. Kita lihat ia bermula dengan pendekatan yang agak rasis apabila soal perpaduan dan kuasa politik Melayu dikatakan akan terhakis jika kaum lain terlalu ‘diberi muka’ dalam perimbangan kuasa yang ditaja oleh Pakatan.

Bagi mendepani pendekatan ini, ba-nyak kata-kata menghasut dan menggertak orang Melayu dihamburkan oleh pemimpin kelas kedua Umno ini sebagai menyambung formula menakut-nakutkan orang Melayu seperti yang kerap didendangkan sebelum pilihan raya umum (PRU) Mac 2008. Soal agihan ekonomi, peluang mendapat subsidi dan tempat pengajian di universiti, serta hak bersuara orang Melayu dihebahkan sebagai terancam kerana Pakatan kononnya ditunggang oleh kepentingan bukan Melayu.

Kini gerakan itu nampaknya memasuki pusingan lumrahnya yang kedua. Isu agama pula menyaluti strategi ‘pecah- perintah’ yang diwarisi oleh Umno-BN daripada penjajah Inggeris.

Kini orang Melayu cuba dilonglaikan dengan tema agama. Pendekatan ini cuba menarik PAS, khususnya keluar daripada kesatuan Pakatan. Ada pemimpin politik Umno yang kurang ternama kini menaja kempen untuk mendekatkan Umno de-ngan Pas.

Hujah puak ini ialah, perpaduan lebih bermakna boleh dicapai jika Umno dan PAS boleh bermuafakat dan bukan PAS dengan DAP.

Kita melihat strategi ini agak lucu. Jika Umno sudah lebih setengah kurun boleh bekerjasama dengan MCA, Gerakan, MIC dan pelbagai parti yang memperjuangkan kepentingan kaum dan agama masing-masing, kenapa bimbang PAS dan DAP sekarang bekerjasama?

Masalahnya, hujah dan cacian apa yang tidak pernah digunakan oleh Umno dan BN terhadap DAP dan PAS selama ini? DAP dilabel dengan lantang dan lancangnya oleh media Umno-BN sebagai perkauman dan cauvinis. Sementara PAS diserang bertalu-talu sebagai parti yang memperalatkan agama Islam untuk berkuasa.

Namun apabila PAS dan DAP makin akrab dalam usaha menegakkan keadilan, menentang kemungkaran politik dan ekonomi Umno-BN dan rakyat pula sudah mula menerima asas perjuangan mereka, Umno-BN mengubah taktik – pecahkan perpaduan PAS-DAP!

Sesungguhnya ini adalah strategi terdesak Umno, khususnya. Ini kerana di antara PAS dan DAP ada pola yang dapat me-nyaluti perjuangan besar bertunjangkan wawasan yang jelas. Kepimpinan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menyulam kesefahaman yang lebih sejagat di kalangan PAS dan DAP. Hujah Pakatan kini lebih bening dan amat mudah difahami. Ia menawarkan harapan baru kepada rakyat.

Lantas alat jentera propaganda Umno-BN pun digerakkan secara bertema dan berfasa.
Tema pertama bunuh wibawa Anwar Ibrahim. Tanpa malu tidak menjawab tuduhan ia menggunakan khidmat pakar runding imej politik yang ada hubungan dengan gerakan risik Zionisme, media Umno-BN cuba melempiaskan tuduhan itu dengan menyerang Anwar cara peri-badi dengan mendakwa beliau adalah alat Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat. Ini adalah sebagai tuduhan tokok terhadap kes perbicaraan kons-pirasi tuduhan salah laku seks terhadap Ketua Pembangkang itu.

Sebelum itu, KEADILAN cuba dilemahkan dengan usaha memancing wakil rakyat lemah akal dan lemah iman daripada parti itu supaya meninggalkan parti berkenaan atas pelbagai alasan remeh.

Habis fasa itu, jentera dakyah Umno-BN kini menumpukan perhatian kepada usaha untuk memfasakhkan PAS dan DAP pula. Formula yang digunakan ialah, Umno parti Islam dan PAS juga parti Islam.

Jadi lebih baik kedua-duanya bermuafakat dan tinggalkan DAP. Namun rakyat kini lebih berpelajaran dan tahu bahawa Islam Umno boleh menghalalkan judi. Islam Umno boleh mengenepikan firman Allah dalam bab fitnah seperti dalam kes qazaf Anwar Ibrahim. Islam Umno menafikan hak bersuara rakyat.

Bagaimanapun yang menggembirakan kita, PAS adalah jauh lebih jelas dan bening pemikiran agamanya. Ia berpaksi pada kesederhanaan, keadilan dan yang paling penting, sentiasa dipandu oleh al- Quran dan sunah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan