Pengikut

Isnin, 3 Ogos 2009

Cakap Pasal Berkat.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Syukur alhamdulillah minggu ni berkesempatan melapangkan masa untuk bersama-sama program bulanan di kampung. Kuliah bulanan pada setiap malam bermula pada jam 8.00mlm – 9.30mlm. Banyak ilmu yang boleh didapat paling kurang dapat membuka minda saya yang masih kering kontang dengan ilmu agama ni...

Banyak perkara yang disentuh walaupun dalam masa sejam setengah tersebut hanya sepotong ayat sahaja yang ditafsirkan... Ayat pertama Surah Al Mulk. Tentang kebesaran dan kekuasaan Allah. Kerajaan Allah... Kerajaan yang Maha hebat tiada tolak bandingnya. Meliputi kerajaan langit dan bumi kekuasaan mengatur alam ini. Perjalanan segalanya cakerawala bulan bintang langit matahari. Semuanya dalam aturbicara dari Allah Tuhan Yang Maha Esa Yang mentadbir alam ini. Kerajaan yang tidak mungkin punya perbandingan dengan segala kerajaan yang wujud di Maya ini. Dialah Allah tuhan yang tidak pernah memerlukan bantuan walau sekelumit dari makhluknya. Jauh sekali dengan mana-mana kerajaan di dunia yang sentiasa bersilih ganti pelakonnya lantas merintih memujuk dan merayu untuk terus kekal berkuasa...

Terlalu sukar untuk kita merasakan kerajaan dan kekuasaan Allah ini pada kita. Rasa yang mampu mendatangkan perasaan gerun, lantas menyimpul ketakwaan padaNya. Sukarnya kita menerima setiap sesuatu itu adalah di bawah kekuasaanNya. Sukarnya kita meletakkan hakikat bahawa segala sesuatu yang berlaku pada setiap kita atas kehendak dariNya... Amat sukar!!! Kita lebih akur pada makhluk justeru lupa pada hakikat sebenar dari Yang Maha Esa...

Arghhh... Apa yang saya melalut ni masih belum berbicara soal berkat. Jauhnya menyimpang!!!. Berkat... suatu kalimah yang telah mula asing ditelinga kita akhir ini. Terlalu asing. Kalau dulu semasa saya kecil kalimah itu benar-benar melekat dijiwa. Kalimah itu sering meluncur dibibir-bibir pakcik sebelah rumah. Kalimah itu juga sering terpacul dimulut nenek-nenek di kampung...

Hari ini, kita telah melupakan berkat itu dalam hidup.... Berkat satu kalimah yang sukar untuk diterjemahkan dengan lisan. Hanya yang mengerti dan memahami sahaja mampu mengungkapkan. Mungkin kerana dunia moden hari ini, dunia yang segalanya berpusatkan kebendaan menjauhkan kita dari mencari keberkatan atau langsung tidak pernah memikirkan keberkatan dalam hidup kita.

Terngiang lagi ditelinga saya, “Hari ini, semakin banyak yang kita dapat semakin jauh kita dengan Allah... semakin kita tidak punya masa walau seminit dua untuk Dia yang memberikan pimjaman kepada kita " itulah kata ustaz dalam kuliahnya... " Semakin banyak kita dapat, semakin tidak cukup pada kita, semakin menghimpit dirasakan... Itulah tandanya hilang keberkatan hidup..." Sambung ustaz lagi.

Erm... itulah tanda hilang keberkatan hidup!!! Lantas hati tertanya... Mungkinkah saya juga sebahagian darinya. Sebahagian dari mereka yang telah ditarik oleh Allah keberkatan dalam hidup. Sering merasakan ketidakcukupan dalam hidup. Puas hati ini memikirkan...

Dan sebelum kuliah ditutup, dihulurkan kotak sumbangan untuk pelbagai program masjid kampung dari jamaah ke jamaah... Akhir, diumumkan kutipan sekitar RM350 lebih. Alhamdulillah. Jumlah yang agak banyak berbanding jamaah yang tidak sampaipun 40 orang dan kebanyakan penduduk kampung pesara atau hanya bekerja dikilang-kilang sekitar perindustrian perai. Saya sendiripun terlalu lemah, lemah kerana tak sanggup untuk mengeluarkan walau sekeping kertas merah sebagai sumbangan di masjid kampung sendiri... Berkatkah saya???

Kepada sahabat-sahabat kampung di luar sana... Sama-sama kita memeriahkan program di kampung kita untuk bulan seterusnya, Semoga Allah akan membukakan pintu keberkatan kepada kampung kita. Amin.


Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yang baik itu dari Allah dan yang buruk itu dari kejahilan diriku sendiri)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan