Pengikut

Selasa, 8 Mei 2012

Majlis Fatwa tahu ke apa itu Bersih?

“Macam mana satu fatwa dikeluarkan tanpa mengetahui tasawwur (gambaran) sebenar mengenai hukum yang hendak diputuskan?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana suatu fatwa boleh dikeluarkan jika suatu isu tidak dilihat secara menyeluruh.

Misalnya, kata beliau kalau yang bertanya itu apa hukum minum ‘tuak’ oleh orang Kelantan kepada ustaz daripada Selangor.

“Maka sudah tentu ustaz itu akan menjawab haram. Tetapi jika diberi penjelasan bahawa tuak dibuat daripada pokok nipah, jikalau di sebelah utara menyebut nira, maka sudah tentulah hukumnya halal.


“Kerana apa ustaz dari Selangor itu menjawab haram,  kerana istilah tuak ialah benda yang memabukkan, tetapi setelah mendapat penjelasan, maka hukum itu berubah,” ujarnya kepada Harakahdaily sebagai respons kepada kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai Bersih 3.0.

Menurutnya, Majlis Fatwa Kebangsaan hanya mendapat maklumat di sebelah pihak sahaja yang sepatutnya perlu bertanya dan bincang dahulu apa itu Bersih 3.0.

“Jangan mereka hanya faham ‘Bersih’ itu hanya air mutlak dalam bab feqah sahaja iaitu air yang suci, lagi menyucikan,” katanya lagi.

Justeru, ujarnya amat malang rakyat Malaysia apabila kewibawaan Majlis Fatwa yang sepatutnya mempertahankan kredibiliti mereka yang dianggotai oleh 14 mufti dan ulamak di negara ini telah mengeluarkan hukum tanpa mendapat penjelasan daripada pihak kedua.

“Apakah ini disiplin Majlis Fatwa Kebangsaan?” tanya beliau.

Beliau menambah, amat malang sekali fatwa yang dikeluarkan hanya kes yang terpilih.

“Kenapa Majlis Fatwa tidak bincang apa hukum pilihanraya tipu?

“Apakah hukum kerajaan yang membazir wang rakyat?” soalnya.

Beliau juga bertanya apakah hukum demonstrasi yang dibuat oleh penyokong Umno di negeri Pakatan Rakyat seperti demo kepala lembu di Selangor sehingga boleh mencetuskan pergaduhan kaum dan agama.

Baginya, sudah cukuplah banyak institusi kerajaan yang dipertikaikan kewibawaannya seperti badan kehakiman, SPR, PDRM dan SPRM.

“Jangan pula rakyat memandang rendah kepada kewibawaan Majlis Fatwa yang hanya sanggup menjadi alat dan membincang perkara yang menguntungkan pemerintah walaupun tanpa merujuk kepada pihak kedua untuk mendapat penjelasan supaya berlaku adil,” katanya lagi. -Harakah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan