Pengikut

Selasa, 8 Mei 2012

‘Kami bawa garam dan air, bukan senjata’ (Video Inside)

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menafikan peserta Bersih 3.0 berniat mahu mengguling kerajaan melalui demonstrasi jalanan.

Sebaliknya mereka hadir ke Dataran Merdeka hanya untuk menuntut sistem pilihan raya yang adil dan bersih daripada sebarang penyelewengan.

“Kita datang bawa garam dan air mineral sahaja. Kalau niat tak baik sudah tentu kita bawa senjata,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya di Gua Musang minggu lalu mendakwa wujud cubaan pembangkang semasa Bersih 3.0 mahu menjadikan Dataran Merdeka sama seperti Dataran Tahrir di Mesir.

“Lucu rasanya melihat pemimpin kerajaan gelabah. Kita dah buat Bersih tiga kali tapi sebelum ni tak sebut pun nak guling kerajaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata PAS turut menghormati keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan semalam yang mengharamkan umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan hura-hura dan kekacauan dalam negara.

Walau bagaimanapun, Mahfuz berkata Majlis Fatwa sepatutnya melihat secara keseluruhan punca tercetusnya perhimpunan itu.

“Ramai rakyat keluar pergi ke Dataran Merdeka nak tunjuk perasaan dengan niat yang baik kerana ada penyelewengan dalam sistem pilihan raya.

“Kalau benar wujud cubaan nak gulingkan kerajaan kita buat di Dataran Putrajaya, bukannya di Dataran Merdeka,” katanya.

Beliau sebaliknya mendakwa polis yang melanggar fatwa kerana bertindak melulu terhadap peserta Bersih 3.0 tanpa menyiasat secara terperinci.

Merujuk kepada penahanan pelajar UiTM Khalid Ismath, Mahfuz berkata polis sepatutnya membuat siasatan forensik secara terperinci terlebih dahulu mengenai kesahihan gambar yang menunjukkan seorang pemuda menggunakan kekerasan terhadap anggota polis trafik.

“Malangnya polis bertindak hanya berasaskan gambar yang disiarkan dalam blog pro Umno,” katanya.

‘Arab Saudi bukannya bodoh’

Selain itu, Mahfuz turut menepis dakwaan Naib Presiden Umno dan juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu penganjur Bersih 3.0 bertanggungjawab sekiranya jemaah Malaysia tidak dibenarkan menunaikan ibadah haji dan umrah bagi tempoh tertentu.

Ini berdasarkan laporan media pihak berkuasa Arab Saudi sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap penganjuran perhimpunan Bersih 3.0 di Mekah dan Madinah pada 28 April lalu.

“Kerajaan Arab Saudi bukannya bodoh macam kerajaan Malaysia.

“Kalau mereka halang, sudah tentu peniaga di Arab Saudi buat tunjuk perasaan membantah kerana rakyat Malaysia kuat membeli belah dan banyak menyumbang kepada kegiatan ekonomi mereka,” katanya.


-FMT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan