Pengikut

Ahad, 20 Mei 2012

Bila Umno dah ubah dasarnya, mereka kena bersama Pakatan

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan muzakarah bersama Umno diadakan sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Bagaimanapun, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menegaskan Umno perlu mematuhi beberapa perkara yang akan ditentukan oleh PAS sekiranya ingin bersatu dan mencapai kesefahaman.

“Kalau Umno nak bersatu (dengan PAS), tukar dasar kebangsaan dia, bubuh (letak) Islam. Bukan buat keputusan secara berseorangan, tetapi perlu buat secara rasmi bahawa Umno tukar dasar kebangsaan kepada Islam.

“Umno kena terima PAS sekali dengan Pakatan Rakyat. Bila Umno dah ubah dasarnya, mereka kena bersama dengan Pakatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung ke-37 PAS Kawasan Kuala Terengganu di Markaz Tarbiyyah PAS di Kuala Ibai, dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkara disebalik kesudian PAS untuk mengadakan muzakarah dengan Umno sebagai suatu permulaan kepada kerjasama parti demi penyatuan orang Melayu khususnya umat Islam.

Katanya muzakarah diminta oleh agama Islam dan sepatutnya adalah untuk kebaikan semua pihak dengan niat yang benar-benar ikhlas.

Rabu lalu, Nik Aziz menyatakan persetujuannya agar PAS membuka pintu untuk bermuzakarah dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Umno.

Kenyataannya itu mendapat reaksi positif Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Umno bersedia untuk bermuzakarah dengan PAS asalkan tujuannya untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.

Fahaman politik

DI LANGKAWI, Pemimpin tertinggi PAS yang berbeza pendapat dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung kesediaannya mengadakan muzakarah dengan Umno tidak seharusnya menghalang muzakarah diadakan, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata muzakarah memberi peluang kepada kedua-dua parti menyatakan pendapat dan mencari jalan menyatupadukan umat Islam yang berpecah akibat fahaman politik.

“Nik Aziz boleh bagi pendapat dia dan pemimpin lain dalam PAS tidak patut halang,” kata Dr Mahathir kepada pemberita semasa diminta mengulas percanggahan pandangan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dengan Nik Aziz dalam isu itu.

Ketika ditemui selepas merasmikan bangunan baru Tenaga Nasional Berhad (TNB) Langkawi di sini hari ini, Dr Mahathir berkata pemimpin PAS harus datang dengan fikiran terbuka dan sanggup memberi pendapat.

“Setuju atau tidak adalah soal lain… bolehlah muzakarah apa salahnya,” katanya.

Muzakarah dinanti-nanti

Di KULIM, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata muzakarah antara kumpulan umat Islam di negara ini seperti Umno dan PAS sememangnya dinanti-nantikan oleh semua umat Islam dan orang Melayu di negara ini.

Bagaimanapun, katanya muzakarah itu hendaklah dilakukan dengan niat yang ikhlas dan tulus.

“Tetapi kita tidak mahu isu ini kelak seperti yang pernah berlaku lebih kepada satu polemik politik dan jika ini berlaku hanya akan membuang masa sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bicara Intelek Bersama Guru Pendidikan Islam dan Guru J-Qaf di Dewan Besar Kolej Mara Kulim di sini hari ini.

Hampir 500 guru agama dari sekolah menengah dan rendah daerah Kulim/Bandar Baharu hadir pada majlis yang diadakan sehari itu.

Jamil Khir berkata atas dasar agama, bangsa dan negara, beliau yakin majoriti rakyat negara ini tidak menolak muzakarah itu.

Katanya cadangan tersebut, jika terbit dari ketulusan hati, masa depan perpaduan dan perhubungan erat rakyat di negara ini akan lebih terjamin selaras dengan tranformasi kerajaan kini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan