Debat di antara dua bintang, masing-masing dari PKR dan Umno, bakal menjadi kemuncak kepada isu pinjaman siswa melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Debat dalam isu yang dilihat menjadi taruhan untuk mendapatkan sokongan anak muda menjelang pilihan raya itu dipersetujui ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk diadakan pada 5 Mei.
Khairy demikian dalam satu tulisannya di laman Twitter hari ini setelah dicabar pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli berdasarkan pendirian kedua-dua mereka dalam isu PTPTN.
Rafizi berkata, debat berkenaan adalah berdasarkan pendirian dan juga hasil sesi perbincangan PKR dan juga rundingan Pemuda Umno dengan pihak berkepentingan, Rabu lalu.
"PKR dan Pemuda Umno sudah mengadakan perbincangan tertutup dengan pihak-pihak terbabit untuk memahami isu ini dengan lebih baik."Sudah tiba masanya, hasil dan pandangan yang berbeza dari kedua-dua belah pihak diketengahkan untuk dibahaskan di hadapan rakyat," katanya.
Rafizi kali ini mencabar pendirian Khairy bahawa ramai pihak berpendapat bahawa kerajaan tidak patut memansuhkan hutang PTPTN berjumlah RM24.7 bilion itu.
Rafizi berkata, jumlah pelaburan kerajaan yang diperlukan untuk tujuan itu hanyalah RM2 bilion setahun.
"Pelbagai sumber boleh digunakan bagi tujuan ini, termasuklah mensyaratkan pelaburan dari keuntungan hasil minyak dan gas ke dalam bidang pendidikan, memotong perbelanjaan pertahanan, membanteras rasuah, menghentikan ketirisan dan pembaziran," katanya.
Rafizi berkata, jumlah RM2 itu juga kecil berbanding pembaziran yang berlaku setiap tahun dalam pentadbiran negara, dan juga wang yang terlibat dalam keputusan kerajaan sejak akhir-akhir ini.
"Misalnya, geran berjumlah RM1 bilion diberikan begitu sahaja kepada Maju Holdings dalam penjualan Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya, hutang Tan Sri Tajuddin Ramli yang berjumlah hampir RM600 juta juga dimaafkan.
Katanya lagi, kerajaan juga setakat ini masih belum mendapatkan semula pinjaman berjumlah RM250 juta yang didakwanya telah diseleweng keluarga menteri dalam skandal NFC.
Tambahnya, PKR juga mengesyorkan supaya kerajaan kembali dipertanggunjawabkan untuk menyedia pendidikan tinggi percuma kepada rakyat
"Ini mengurangkan keperluan tempat pendidikan tinggi disediakan oleh pihak swasta, seterusnya mengurangkan perlunya sebuah dana yang besar untuk dipinjamkan kepada rakyat bagi tujuan pendidikan."Kumpulan pelajar Solidariti Mahasiswa Malaysia merancang untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka, esok, bagi menuntut pemansuhan pinjaman itu.
Sumber - Malaysiakini
debat PTPTN hari patut kita dgr ada bagusnya khary masuk dlm PKR....... sbb dlm PKR ads kata yg sama
BalasPadam