Anwar Ibrahim Club terpanggil untuk menyatakan sokongan terhadap penganjuran BERSIH 3.0, yang dilancarkan oleh Jawatankuasa Pemandu Bersih 3.0 sebentar tadi di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor. Ini adalah ikhtiar rakyat Malaysia melalui 84 NGO dengan dokongan padu orang awam untuk mendapatkan perhatian kerajaan bagi menilai semula kebobrokkan sistem pilihanraya yang tidak bersih dan tidak adil.AIC melihat beberapa perkara seperti yang dinyatakan oleh Jawatankuasa Pemandu BERSIH 3.0 itu mempunyai asas yang kukuh dan berintegriti, tidak mewakili pihak berkepentingan tetapi sebagai satu desakan untuk kerajaan segera bertindak bagi memberikan rakyat Malaysia satu bentuk pilihanraya yang lebih terjamin.
Keraguan paling besar adalah terhadap kecelaruan daftar pemilih induk, sama seperti yang dinyatakan dalam Laporan Minoriti Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang jelas membuktikan wujud tangan-tangan ghaib untuk memastikan kerajaan sedia ada terus selesa mengekalkan tampuk kekuasaan dengan cara mencurangi rakyat.Maka adalah wajib rakyat seluruhnya untuk turun "duduk bantah" dan menyatakan pendirian tegas rakyat bahawa tidak boleh berlaku sebarang proses pilihanraya selagi daftar pemilih induk dipenuhi dengan kekeliruan dan keraguan yang munasabah. Rakyat terutamanya anak-anak muda harus segera bangkit bagi menghalang penjajahan serta pembodohan minda terus-terusan berlaku dan menekan kita ke dasar untuk lima tahun akan datang.
Anak-anak muda harus berani bangkit merubah dan menukar takdir negara ini. Turunlah ke semua lokasi yang ditetapkan mengikut kemampuan sendiri, asalkan terus terlibat dan tidak terleka dengan bahaya yang sedang mendepani kita. Di bahu kita terletak amanah untuk dipikul, dan terletak harapan bagi memulangkan keadilan dan maruah di tempat yang selayaknya.
*Kenyataan media oleh Saifuddin Shafi Muhammad selaku Presiden Anwar Ibrahim Club, Malaysia. - RM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan