Pengikut

Ahad, 8 April 2012

Guan Eng tidak akan campur tangan isu YDP MAINPP

Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak mahu campur tangan dalam isu pelantikan Yang Dipertua, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang baru.

Menurutnya, beliau tidak mahu mengulas isu berkaitan dengan hal ehwal Islam dan menyerahkkanya kepada pemimpin Islam yang bertanggungjawab.

"Biarlah, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim (kiri) dan pihak berkaitan sahaja yang mengulas isu ini.

"Saya adalah pemimpin bukan Islam dan tidak sesuai untuk mengulas isu-isu Islam," kata beliau kepada media selepas menyerahkan dana RM300,000 untuk pembinaan kuil Sri Bala Thandayuthabani di atas bukit, Jalan Air Terjun, di sini, hari ini.

Tiga hari lalu, Sinar Harian melaporkan bahawa pengisian jawatan itu masih menjadi tanda tanya apabila Adun Permatang Pasir, Datuk Salleh Man yang diumumkan sebelum ini untuk memikul tugas berkenaan belum lagi mendapat pengesahan.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman mengumumkan nama Salleh (kanan) untuk menggantikan Elias Zakaria.

Ketika itu, mereka dalam proses untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim di Istana Negara.

Mansor dilaporkan berkata akan mewakili Kerajaan Negeri bagi mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong berhubung pelantikan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang itu menyandang jawatan berkenaan. Beliau kini adalah Timbalan Yang Dipertua MAINPP.

Bagaimanapun, timbul pula desas-desus kononnya Abdul Malik akan menjawat jawatan itu setelah namanya, yang dikatakan dicadangkan kepada Tuanku Abdul Halim, mendapat perkenan.

Namun sehingga kini, tiada pihak yang tampil membuat pengesahan atau penafian mengenai isu itu.

Sumber - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan