Pengikut

Isnin, 19 Mac 2012

Wawancara Anwar tanpa RPK diputuskan sendiri oleh Wikileaks

Wawancara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pengasas Wikileaks, Julian Assange diputuskan sendiri pihak editorial badan itu tanpa paksaan dari pejabat Anwar.

Penjelasan itu dibuat Ketua Staf Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ibrahim Yaacob sebagai mengulas tindakan Datuk Seri Najib Razak memutar belit isu itu.

“Pertamanya kami mahu menjelaskan bahawa permohonan yang diajukan Wikileaks kepada Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu wawancara antara Julian Assange dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kemudiannya barulah pihak kami diberitahu Raja Petra mahu menumpang dalam wawancara tersebut,” katanya.

Ibrahim berkata, selepas Anwar bersetuju dengan wawancara itu, barulah Ketua Pembangkang itu diberitahu blogger kontroversi, Raja Petra Kamaruddin mahu menumpang dalam wawancara itu.

“Makanya Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau hanya menyatakan persetujuan untuk permintaan asal iaitu wawancara antara beliau dengan Julian Assange.

“Oleh itu Quick Roll Productions, pihak produksi yang terlibat dengan wawancara ini membuat keputusan editorial untuk meneruskan format wawancara antara Julian Assange dengan Anwar Ibrahim tanpa melibatkan penumpang lainnya,” tegas Ibrahim.

Oleh itu, kata Ibrahim, tindakan Najib memutar belit isu itu hanya taktik Presiden Umno itu untuk mengelak dari berdebat dengan Anwar.

“Keduanya, kami merasa terpanggil apabila Datuk Seri Najib Razak menggunakan isu ini sebagai pelantar untuk mentohmah Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya takut berdebat dengan Raja Petra.

“Kami kesal kerana Datuk Seri Najib Razak bercakap tidak berdasarkan fakta yang sebenar kerana tidak timbul soal debat sedangkan yang dipersetujui antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Julian Assange adalah wawancara satu sama satu,” tegasnya.

Ibrahim juga melihat keengganan Najib berdebat dengan Anwar menimbulkan persoalan bahawa Presiden Umno itu menolak amalan demokrasi atau Najib sebenarnya pengecut untuk berdebat dengan Anwar.

“Akan tetapi oleh kerana Perdana Menteri beriya-iya bercakap soal debat, kami berpendirian adalah sangat baik untuk rakyat dan negara ini sekiranya Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perdebatan antara Ketua Pembangkang dengan Perdana Menteri berkaitan isu nasional pastinya memberi manfaat yang banyak kepada rakyat dan negara Malaysia,” katanya lagi.

Sumber: KeadilanDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan