Pengikut

Khamis, 22 Mac 2012

PR Selangor tak usik tanah rizab melayu - Tan Sri Khalid

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui tiada projek pembangunan melibatkan tanah rizab Melayu oleh anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC) sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, apa yang dirancang Kerajaan Negeri ialah membangunkan tanah rizab Melayu yang terletak di kawasan strategik seperti di Klang, Hulu Langat dan Sepang untuk projek perumahan.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri pada masa ini tidak mempunyai perancangan khusus membangunkan tanah rizab Melayu,” katanya, semalam.

Kenyataan berkenaan menjawab pertanyaan mulut Ng Suee Lim (DAP-Sekichan) berhubung perancangan membangunkan tanah rizab Melayu yang strategik demi meningkatkan tahap ekonomi Melayu.

Abdul Khalid berkata, jumlah keluasan tanah rizab Melayu bagi sembilan daerah di seluruh Negeri Selangor sebanyak 182,701.7 hektar.

Beliau berkata, jumlah keluasan mengikut pecahan daerah adalah Sabak Bernam iaitu 69,129.4 hektar, Gombak (4,576.8), Sepang (9,146 ), Hulu Langat (13,237.5), Hulu Selangor (12,720.8), Kuala Langat (15,012.3), Kuala Selangor (7,474.5), Klang (9,123) dan Petaling (1,093.2).

Dalam pada itu katanya, pihaknya bercadang membangunkan tanah rizab Melayu di negeri ini yang difikirkan boleh menjana keuntungan dan memberikan faedah kepada kaum bumiputera dalam masa terdekat.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Perasmian Pembukaan Sidang Dun Selangor Isnin lalu menitahkan agar pentadbiran Kerajaan Negeri bertanggungjawab mengawal selia tanah dengan amanah dan berhemah.

Dalam titah tersebut, baginda mahu kawasan kepentingan umum seperti hutan simpan, kawasan tadahan air, rizab sungai dan sebagainya mesti dipertahankan malah pencerobohan mesti dibanteras dan kebenaran tidak sepatutnya diberikan untuk projek pembangunan di kawasan tersebut.

“Peruntukan Perlembagaan untuk Tanah Rizab Melayu mesti dipatuhi. Beta tidak mahu mana-mana pihak melakukan tindakan tidak bertanggungjawab dengan cuba memindahkan Tanah Rizab Melayu kepada individu atau syarikat bukan milik Melayu.

“Beta percaya Menteri Besar, Kerajaan Negeri Selangor dan semua kakitangan kerajaan yang terlibat dalam urusan tanah sentiasa berwaspada mempertahankan tanah rizab Melayu dengan memastikan tidak ada yang bertukar status,” titah baginda.

-SinarHarian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan