Pengikut

Sabtu, 31 Mac 2012

Apa motif pujian melangit Pairin terhadap Musa?

Pujian melangit “Huguan Siou” (pemimpin agung) Kadazandusun Joseph Pairin Kitingan terhadap Ketua Menteri Musa Aman menimbulkan kesangsian ramai pemimpin masyarakat itu.

Mereka mempertikai apakah sesuai atau rasional tindakan Pairin itu seperti yang dilaporkan akhbar-akhbar tempatan di Sabah hari ini.

Dua pemimpin pembangkang dari Parti Reformasi Negeri (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) mengeluarkan kenyataan pedas hari ini berhubung pujian Pairin.

Menurut mereka Pairin dilaporkan antara lain sebagai berkata “tidak disangsikan lagi bahawa beliau (Musa) seorang Ketua Menteri yang sangat prihatin…” Tetapi, prihatin kepada siapa, tanya STAR dan SAPP?

Timbalan Pengerusi STAR Sabah, Daniel John Jambun, dalam kenyataannya berkata: “Saya amat terkejut membaca laporan akhbar hari ini menyatakan Tan Sri Pairin memuji-muji dan mengangkat kepimpinan Musa sebagai seseorang yang amat prihatin kepada rakyat Sabah.

“Tidakkah Huguan Siou Kadazandusun yang juga timbalan ketua menteri itu sedar pujiannya adalah janggal sekali sebab di bawah pimpinan Musa dari Umno lah, masyarakat Kadazandusun dan juga Orang Asal lain semakin terhimpit di bumi sendiri?

“Bagaimanakah Pairin mengangkat Musa begitu tinggi sedangkan ketika pemerintahannya rakyat Sabah terus merempat sebagai yang paling miskin di Malaysia? Ini laporan Bank Dunia yang menyatakan demikian!,” hujah Daniel lagi.

Golongan termiskin

Daniel juga bertanya apakah Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu menyedari di bawah kerajaan Umno sekarang, masyarakat

Kadazandusun rata-rata merasa tertindas kerana merekalah golongan termiskin di Sabah sekarang!

“Bukankah orang Kadazandusun banyak kehilangan hak mereka termasuk tanah-tanah adat (NCR)? Bukankah di bawah kerajaan yang dipimpin Musa?,” desak beliau.

Malah, katanya, ketika pemerintahan inilah ramai Kadazandusun menjadi mangsa tindakan Jabatan Perhutanan Sabah membakar rumah rakyat serta meracun pokok-pokok getah mereka hanya kerana dituduh menduduki kawasan hutan yang termasuk kononnya dalam Hutan Simpan seperti yang berlaku di Tangkarason, di Beluran.

“Tidakkah Pairin dan PBS tahu bahawa puluhan ribu belia Kadazandusun kini berada di Lembah Kelang, Pulau Pinang dan Johor mencari pekerjaan dan bekerja di pelbagai sektor kerana mereka tidak mendapat pekerjaan di Sabah?

Ramai mereka ini layak menjadi anggota polis dan guru misalnya tetapi Pairin tidak tahu anak-anak muda dari Semenanjung pula diberi kerja ini di Sabah!” katanya.

Bagaimana pula dengan pendatang haram? Bagaimana dengan IC palsu? Pengundi palsu? Tidakkah terdetik di hati Pairin semua isu ini, sehingga memuji melangit Musa yang tidak nampak menyelesaikan isu-isu yang telah menghantui rakyat Sabah, kata Daniel.

“Cukup memalukan diri sendiri tetapi inilah hakikatnya bila pemimpin terhutang budi dan seolah-olah meletakkan kedudukan sendiri lebih daripada perasaan rakyat jelata sendiri.

“Apa yang berlaku ini umpama mimpi yang kita tidak terbayangkan akan berlaku tetapi kini sudah berlaku,” katanya.

Pairin membuat pujian itu pada majlis pelancaran sebuah buku setebal 390 halaman mengenai Musa yang disempurnakan oleh Yang di- Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin di sini hari ini.

Masyarakat Kadazandusun dipinggirkan


Sementara itu, ahli majlis tertinggi SAPP, Peter Marajin, yang juga seorang peguam, dalam kenyataannya menyifatkan pujian melangit presiden PBS untuk Musa itu sebagai tidak diterima baik oleh rakyat kebanyakan terutama sekali masyarakat Kadazandusun yang menurutnya dipinggirkan Umno.

“Bagaimana pula Huguan Siou merendahkan dirinya sebegitu rupa, angkat kaki Umno, bila dia sendiri tahu masyarakatnya paling merasai ditindas di negeri sendiri di bawah rejim sekarang ini.

“Sama ada Pairin sudah lupa atau betul-betul dia mengasingkan dirinya dari realiti kehidupan di Sabah sekarang di mana Orang Asal seperti Kadazandusun dan Murut telah banyak kehilangan hak termasuk tanah-tanah adat (NCR) mereka ketika di bawah pemerintahan Musa.

“Bagaimana pula dengan masalah pendatang haram yang terus-terusan menghantui rakyat tulen Sabah? Tidakkah Pairin dan PBS sedar masalah ini tidak diselesaikan oleh kerajaan hari ini? Bagaimana pula dengan tuduhan bahawa sektor awam didominasi kumpulan tertentu sahaja sekarang?

“Tidakkah mereka tahu orang Kadazandusun semakin sukar mendapat peluang pekerjaan dan peluang kenaikan pangkat di bawah kerajaan Musa? Tolonglah, janganlah memuji sembarangan…..memalukan,” tegas Marajin lagi.

-FMT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan