Ketua Pembangkang itu memberitahu sekitar 2,000 penyokongnya dalam ceramah di sini, yang merupakan bekas kubu kuat Umno suatu ketika dahulu, PR menerima tekanan daripada media BN kerana kroni kerajaan itu khuatir “keuntungan” mereka akan berkurang sekiranya berlaku perubahan kerajaan.
“Perjuangan ini, pilihan raya adalah antara golongan berpendapatan rendah menentang golongan kaya, kroni Umno.
“Setiap hari saya diserang. Siapa yang menentang saya? Bukan Najib atau Muhyiddin. Tapi jutawan yang takut keuntungan mereka disekat,” kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Walaupun beliau menuduh sesetengah jutawan Malaysia seperti pemilik Genting dan YTL, beliau turut mempertikaikan monopoli jutawan Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhari terhadap pasaran gula dan beras.
“Adakah saya berbangga Melayu mengawal ekonomi? Ya, tapi bukan untuk menyusahkan rakyat,” kata Ketua Umum PKR itu.
“Di bawah Syed Mokhtar, harga gula empat kali lebih tinggi. Kamu, penyokong Umno, keluarga kamu di sawah padi sedang ditekan oleh pemimpin.”
Tindakan Anwar itu dilihat dibuat selepas kajian bulan lalu yang dilaksanakan oleh Merdeka Center mendapati populariti Najib melonjak 10 peratus kepada 69 peratus dengan 78 peratus datang dari isi rumah berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan.
Kajian berkenaan mendapati pemberian wang tunai berjumlah RM500 oleh Putrajaya untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah penyumbang utama terhadap sokongan tersebut.
Pemimpin sebelum Najib, Tun Abdullah Ahmad Badawi, telah menerima rating 71 peratus sebelum pilihan raya 2008 namun BN tewas dua per tiga kerusi Parlimen dan empat negeri.
Anwar turut menjelaskan PR merupakan pihak yang bertanggungjawab berjuang untuk mendapatkan gaji minimum dan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menurutnya membebankan rakyat Malaysia dan menjadikan mereka penggemis.
“Golongan belia ini berpendapatan kurang RM800 sebulan siapa yang menyokong Umno … Bukan Umno yang berjuang untuk gaji minimum, tapi kami. Kami akan memansuhkan PTPTN, bukan Umno.
“Kami mahu turunkan harga petrol, elektrik. Tapi Umno kata beri air percuma seperti Selangor akan jadikan kerajaan bankrup,” tambah Anwar merujuk kepada pemberian subsidi terhadap 20 meter padu air untuk isi rumah di sekitar Lembah Klang.
Najib telah memberikan gambaran pilihan raya akan berlaku dalam masa terdekat walaupun mandat kerajaannya memerintah hanya akan tamat tahun depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan