Pengikut

Sabtu, 17 Mac 2012

Anggota polis tawar diri beri keterangan pada tribunal

Beberapa anggota polis yang masih berkhidmat, telah memaklumkan kepada Malaysiakini mengenai kesediaan mereka tampil secara sukarela memberi keterangan kepada tribunal berhubung dakwaan salahlaku terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Keterangan tersebut, tegas mereka, akan melampaui dakwaan wujudnya pakatan sulit antara kedua-duanya dengan penjenayah.

Malaysiakini telah menyiarkan satu siri laporan sejak seminggu lalu mengenai dakwaan bahawa pasukan polis bersekongkol dengan penjenayah.

Ia dipercayai telah mendorong anggota polis berkenaan yang masih berkhidmat itu, untuk tampil memberi keterangan.

Mereka - yang enggan mendedahkan nama melainkan sebuah tribunal ditubuhkan - berkata ketika pasukan itu bertambah baik di bawah kepimpinan Tan sri Ismail Omar sekarang, namun pengaruh Peguam Negara Abdul Gani masih menimbulkan rasa takut di kalangan banyak pihak.

Ini, kata mereka, akan berterusan melainkan sebuah tribunal bebas ditubuhkan.

Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kiri) meminta bukti terhadap dakwaan salahlaku tersebut.

Ini ekoran laporan Malaysiakini mengenai ucapan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan (CCID), Datuk Ramli Yusuff, yang mendakwa Gani bersama dengan Musa dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu, telah menganiayainya dan orang-orangnya.

Tuduhan itu berasal daripada siasatan mereka terhadap Goh Cheng Poh atau Tengku Goh, seorang penjenayah dari Johor yang didakwa mendapat sokongan Musa.

Tengku Goh ditangkap oleh Ramli pada 1 Ogos 2007 tetapi dibebaskan empat bulan kemudian.

Ketika dakwaan semakin menggunung, Musa kemudiannya disiasat dan dibersihkan oleh Abdul Gani dan BPR, manakala kontrak perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara disambung sehingga persaraannya pada 2010.

Bagaimanapun, seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini persoalan mengenai dakwaan pembabitan kedua-duanya itu, masih berterusan.

Sumber: M'kini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan