Pengikut

Khamis, 5 Januari 2012

Selamatkan negara, tumbangkan Umno!

“Tolong diri kita, tolong selamatkan negara. Umno harus ditumbangkan jika rakyat ingin berkongsi kekayaan negara.

“Kekayaan negara banyak tetapi hanya dimonopoli oleh orang-orang tertentu”, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di ceramah Kempen Bebaskan Anwar 901 di perkarangan Pejabat PKR Negeri Sembilan di sini malam tadi.

Anwar memberikan contoh bagaimana sesuatu industri seperti gula, penjana kuasa elektrik persendirian (IPP), perhotelan, syarikat televisyen kabel hanya diberikan kepada tokoh korporat yang sama seolah-olah seperti tidak ada lagi Melayu, Cina dan India yang mampu mengendalikan perniagaan tersebut.

Ahli Parlimen Permatang Pauh juga mengutarakan beberapa contoh bagaimana kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) zalim kepada rakyat tetapi mesra kepada kroni.

Ujar beliau, “dengan rakyat biasa kau (kerajaan) bukan main garang. Oh! Tak boleh buat itu!, Oh! tak boleh buat ini!

“Tetapi apabila tokoh korporat kroni datang berjumpa kerajaan dengan tuntutan seperti kenaikan tarif elektrik atau harga gula, bagi begitu sahaja. Langsung tidak memikirkan beban pada rakyat.

Beliau menyoal, “tahap kemiskinan orang Melayu dan penindasan ke atas orang Melayu siapa punca, dia?

“Siapa lagi kalau bukan Umno? Siapa Perdana Menteri Malaysia? Siapa Timbalan Perdana Menteri? Siapa Menteri Kewangan? Siapa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani?

Menteri Umno

“Siapa lagi kalau bukan Menteri Umno yang berbangsa Melayu juga,” kata Anwar dan disambut dengan sorakan gamat lebih 2,000 orang awam yang membanjiri kawasan tersebut.

Anwar seterusnya menceritakan pengalaman beliau ketika di penjara dulu (1998) bagaimana seorang lelaki yang mencuri sehelai seluar jeans dijatuhkan hukuman enam bulan penjara.

“Tetapi ada pemimpin Umno yang didapati bersalah atas tuduhan rasuah membabitkan jutaan ringgit hanya dijatuhkan hukuman 12 bulan.

“Saya tidak memusuhi ahli Umno atau pemimpin bawahan Umno. Tetapi saya menentang pemimpin Umno atasan termasuk menteri yang saban hari mengutuk dan mengaibkan saya dengan fitnah.

“Saya menentang kerana mereka inilah yang ambil duit komisyen, terlibat dengan rasuah, salah guna duit rakyat, salah guna duit Zakat dan bisnes lembu”, jelas Anwar lagi dan hadirin sekali lagi bersorak gamat sebagai tanda sokongan.

Anwar juga memberikan contoh bagaimana pendapatan hasil kayu balak oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah berlipat kali ganda lebih besar berbanding ketika pentadbiran BN.

“Ketika pentadbiran BN dulu hasilnya hanya RM1,000 untuk keluasan seekar. Di bawah kerajaan Pakatan, pendapatan negeri Kedah adalah RM19,000 untuk keluasan seekar. Mana pergi RM18,000 ketika zaman BN dulu?,” tanya Anwar dan penyokong beliau kedengaran menjerit “BN dah sapu”, “Umno sapu”.

Di akhir ceramah Anwar meminta rakyat bangkit dan menolak Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

“Ini bukan soal saya dipenjarakan atau tidak. Tetapi ini soal keadilan rakyat. Senjata Umno hanyalah dengan memainkan isu perkauman dan memecah belahkan perpaduan di antara kaum.

“Jika dia (Umno) bagi duit, ambil. Bagi baju atau kain, ambil, tapi jangan lupa undi calon Pakatan. Keangkuhan pemerintahan Umno-BN harus ditamatkan.

“Lawan tetap lawan!”, laung Anwar dan dibalas dengan orang ramai dengan kata-kata yang sama.

Muka baru

Sementara itu FMT menemubual Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani berhubung jumlah kehadiran penyokong yang agak kecil sedikit berbanding ceramah Anwar sebelum ini di Seremban yang lazimnya mampu menarik di antara 3,000 ke 5,000 orang.

“Sebenarnya kehadiran pada malam ini memang ramai. Anda tidak boleh bandingkan ‘crowd’ sebelum ini dengan malam ini. Biasanya kita adakan ceramah Anwar di markas atau tapak ceramah yang memang popular di kalangan penyokong Pakatan.

“Bagaimanapun kali ini kita mengadakan di kawasan awam di bandar dan betul-betul di tepi jalan utama Seremban-Tampin. Hasilnya 80% orang awam yang hadir pada malam ini ialah muka-muka baru, pengundi atas pagar dan mereka yang bukan ahli PAS, PKR atau DAP.

“Biasanya ceramah Pakatan, majoriti yang hadir ialah Melayu. Malam ini anda sendiri boleh saksikan bagaimana ramainya orang India dan Cina turut bersama kita.

“Saya juga amat gembira melihat sokongan kaum India yang memang ramai
pada malam ini dan ini bukti sokongan kaum India pada

Pakatan masih utuh dan kononnya mereka telah lari kepada BN adalah mainan politik Umno-BN untuk mengalih fokus pengundi India kepada mereka,” jelas Mohd Taufek.

Turut hadir ialah Naib Presiden dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Datuk Kamarul Baharin Abbas dan Pengerusi DAP Negeri Sembilan dan Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Fook.

Selepas Anwar menghabiskan ceramah pada pukul 10.30 malam beliau bergegas ke Bukit Katil, Melaka untuk satu lagi sesi ceramah kempen 901.

Anwar akan mengetahui nasibnya pada Isnin 9 Januari ini berhubung kes tuduhan liwat II di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur. -FMT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan