Pengikut

Sabtu, 7 Januari 2012

PKR setuju berhimpun di parkir kereta mahkamah tapi tolak 10 syarat polis

Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersetuju dengan cadangan polis untuk mengadakan perhimpunan 901 pada Isnin ini di kawasan parkir kereta di luar Kompleks Mahkamah Tinggi Jalan Duta namun menolak 10 syarat baru yang dikeluarkan pihak berkuasa itu.

Menurut Timbalan Presiden PKR Azmin Ali (gambar), pihaknya menerima pakai persetujuan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamad Salleh selepas mengadakan pertemuan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur semalam.

Kata Ahli Parlimen Gombak ini, pihaknya tidak bersetuju dengan 10 syarat baru yang dikenakan kepada parti itu seperti mana yang diumumkan Ketua Polis Daerah Sentul ASP Zakaria Pagan.

“Saya ingin menegaskan bahawa PKR menerima pakai persetujuan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamad Salleh yang dimuafakati dan diumumkan selepas mesyuarat bersama pagi semalam.

“Persetujuan ini tidak menyentuh beberapa sekatan (10 syarat) yang diumumkan kemudiannya oleh pihak polis,” kata Azmin dalam satu kenyataan.

Kata beliau, perhimpunan aman menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim itu telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh yang demikian saya mengulangi seruan agar semua rakyat turun untuk menunjukkan solidariti dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menuntut keadilan dan integriti sistem kehakiman negara ini.

“Ia selaras dengan hak berkumpul dan amalan perhimpunan aman yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya - TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan