Parti Keadilan Rakyat (PKR) membidas Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sambil menegaskan, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu yang sepatutnya "lebih risau" kerana ramai mengatakan beliau tidak menunaikan tanggungjawabnya di Wilayah Persekutuan sejak dilantik sebagi anggota Kabinet.
"Saya berasa Datuk Raja Nong Chik bercakap tak kena pada tempatnya.
"Sebenarnya beliaulah yang patut lebih risau kerana ramai yang mengatakan beliau tidak menunaikan tanggungjawab kepada seluruh Wilayah Persekutuan, yang merangkumi 11 kawasan Parlimen serta (kerusi) Putrajaya dan Labuan," kata Naib Ketua PKR Lembah Pantai, Amin Mian dalam satu kenyataan.
Mengulas laporan Sinar Harian Online kelmarin memetik Raja Nong Chik mendakwa Nurul Izzah Anwar tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai, Amin berkata, pada bulan Ramadan lalu, sebagai contoh, beliau (Raja Nong Chik) menumpukan hampir 85 peratus programnya di satu kawasan sahaja dan jelas mengabaikan 12 bahagian Parlimen di Wilayah Persekutuan yang lain.
"Dari segi penggunaan dana, saya difahamkan bahawa Raja Nong Chik menggunakan dana (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) DBKL untuk kepentingan politik beliau.
"Tidak lama lagi, insya-Allah pihak kami akan membongkar isu ini dengan lebih mendalam," katanya lagi.
Kelmarin, Raja Nong Chik yang juga Ketua Umno Lembah Pantai berkata,
Barisan Nasional (BN) yakin dapat menawan semula kerusi Parlimen Lembah Pantai berdasarkan prestasi Nurul Izzah, yang menurutnya tidak turun membantu penduduk bahagian tersebut.
Raja Nong Chik berkata, PKR hanya menumpang usaha BN membantu penduduk Lembah Pantai.
“PKR hanya tahu mengkritik, tapi hampir empat tahun tiada perkara yang membina telah dibuat, hanya bila kita (BN) berjaya membuat sesuatu, mereka cuba menumpang, contohnya kita dapatkan peruntukan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk cat rumah di Taman Sri Sentosa dan Terminal Sejahtera pun, dia kata atas desakkan dia, bila dia desak, tak ada pun, dia tak buat apa pun selama dua tahun ini," kata beliau.
Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR dan Ketua cabang Lembah Pantai, menang di bahagian itu dengan menewaskan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, pada pilihan raya umum 2008.
Lembah Pantai salah satu daripada 10 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dimenangi oleh komponen Pakatan Rakyat (PR).
Dalam kenyataannya, Amin juga membangkitkan isu berkenaan dengan kerja-kerja mengecat bangunan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Wilayah Persekutuan.
"Saya ingin bangkitkan isu kerja-kerja cat bangunan PPR - adakah tender-tender cat tersebut diberi secara terbuka?"
"Atau adakah projek-projek tersebut diberikan kepada kroni-kroni Raja Nong Chik?" kata beliau sambil menambah, "saya juga ingatkan Raja Nong Chik betapa kecewanya penduduk Kampung Baru terhadap beliau disebabkan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, hingga mereka menebarkan kain rentang yang menghalau beliau keluar dari situ."
Selain itu katanya, penduduk Lembah Pantai sedar bahawa kerja-kerja membaiki longkang, sampah, jalan-jalan berlubang dan mengecat bangunan awam adalah di bawah DBKL, dan agensi itu terletak di bawah kementarian beliau kerana segala kuasa, kewangan dan jentera kerajaan yang sepatutnya dipilih oleh rakyat adalah di bawah kuasa dan tanggungjawab Raja Nong Chik.
"Oleh itu, jika longkang tersumbat, sampah berselerak, jalan berlubang, nyamuk membiak dan sebagainya hanya bermakna Raja Nong Chiklah yang tidak berkerja.
"Maka sekali lagi saya ingin ingatkan Raja Nong Chik, beringat-ingatlah - penduduk Wilayah Persekutuan melihat setiap perkara yang anda lakukan," katanya lagi. -SinarHarian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan