Pengikut

Khamis, 5 Januari 2012

Najib takut dakwa Taib Mahmud ke mahkamah

Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak takut mengambil tindakan terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang bergelumang dengan skandal rasuah dan salahguna kuasa.

Naib Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, See Chee How berkata, ini kerana Najib masih menaruh harapan kepada Taib bagi membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

“Najib sebenarnya takut, namun pada masa sama beliau masih percaya Taib akan membantu BN menang di Sarawak pada PRU akan datang.

“Namun, bagi kita, dengan kekalnya Taib sebagai Pengerusi BN negeri akan memudahkan laluan Pakatan Rakyat untuk menawan lebih banyak kerusi pada PRU kali ini,” katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan polis antarabangsa Interpol bahawa tindakan terhadap Taib hanya boleh dilakukan pihak berkuasa tempatan di Malaysia.

Ia ekoran pendedahan Dana Bruno Manser (BMF) dan 16 NGO yang menulis sepucut surat mendedahkan kepentingan keluarga Taib dalam lebih 400 syarikat di 25 negara yang dianggar berbilion ringgit.

BMF dan NGO itu, dalam suratnya menggesa kerajaan Malaysia menahan Taib dan ahli keluarganya kerana melakukan salahgunakuasa, rasuah dan konspirasi untuk membentuk sebuah organisasi jenayah.

Surat 10 muka itu ditandatangani 13 NGO dari Malaysia, Australia, Jerman, Jepun, Switzerland dan United Kingdom.

Mengulas lanjut, Chee How berkata, rakyat Sarawak sudah lama mempertikaikan kekayaan luar biasa yang dimiliki Ketua Menteri paling lama berkuasa di Malaysia itu.

“Buktinya, pada Pilihanraya negeri April lepas, kita berjaya menambah bilangan kerusi berbanding pilihanraya sebelumnya dalam keadaan Pakatan Rakyat dinafikan hak untuk memperkenalkan manifesto di media milik kerajaan.

“Respon rakyat sepanjang kempen itu ialah mengapa Najib masih mengekalkan Taib sedangkan jelas Ketua Menteri itu banyak melakukan salah guna kuasa dan rasuah sepanjang 30 tahun menjadi Ketua Menteri,” tegasnya. -KeadilanDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan