Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tetap percaya konspirasi politik tetap wujud walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Pengasasnya, Badrul Hisham Shaharin berkata, keputusan mahkamah membebaskan Anwar dari tuduhan liwat jangan dipandang dari aspek kebebasan kehakiman.
“Walaupun kami menerima baik keputusan mahkamah itu tetapi ia bukanlah petanda bahawa institusi kehakiman bebas,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Beliau yang juga dikenali sebagai CheguBard berkata, jika institusi tersebut bebas maka sejak dari awal lagi pendakwaan tidak harus berlaku ataupun kes ini pasti digugurkan di pertengahan perbicaraan.
“Namun walaupun terdapat banyak kepincangan ia tetap diteruskan. Dalam masa yang sama, keputusan kelmarin harus dilihat sebagai kemenangan rakyat. Ia adalah hasil tekanan dan kesedaran rakyat terhadap kes tersebut,” jelas beliau.
Katanya, rakyat tidak harus lupa bagaimana kes ini bermula dengan 24 Jun 2008 berlaku pertemuan ‘sulit’ Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Rosmah Mansor dan Saiful.
“Pertemuan ini tidak dinafikan. Hanya apabila kedengaran kali pertama Najib berbohong dengan mengatakan tidak pernah kenal Saiful,” kata Ketua Cabang PKR Rembau itu.
Menurut CheguBard, apabila dikeluarkan gambar Saiful di pejabat Najib maka Najib cuba menyelamatkan pembohongannya dengan berbohong lagi menyatakan ya memang Saiful berada di pejabatnya kerana urusan mohon biasiswa.
“Selepas ada pihak yang mengeluarkan bukti bagaimana seorang pelajar yang dibuang kolej kerana gagal peperiksaan boleh diberikan keistimewaan bertemu Perdana Menteri untuk urusan biasiswa maka Najib terpaksa mengakui bahawa beliau dan Rosmah ada berjumpa
Saiful konon kerana Saiful mengadu mengalami sakit perut,” kata beliau.
Rakyat juga katanya, tidak boleh lupa bagaimana pada 25 Jun 2008, Saiful berjumpa dengan Ketua Polis Melaka, Rodwan Yusof di sebuah hotel secara sulit di Lembah Kelang.
Pengakuan Dr Zahari
Ujarnya, “pertemuan ini lebih kontroversi memandangkan rekod peranan Rodwan dalam kes fitnah pertama dulu.
“Dalam kes 1998, rekod mahkamah secara jelas menulis pengakuan Dr Zahari bahawa beliau dipaksa memalsukan bukti DNA atas tilam kerana dipaksa oleh Pegawai Penyiasat, Musa Hassan (yang selepas itu menjadi Ketua Polis Negara) dan pembantunya Rodwan (yang kemudian menjadi Ketua Polis Melaka),” katanya.
“Hanya selepas bertemu dengan Najib, Rosmah dan Rodwan (24 dan 25 Jun 2008) barulah Saiful mendakwa kononnya diliwat oleh Anwar pada 26 Jun 2008 dan ini sudah tentu fakta yang menarik perhatian.
“Itu belum mengambil kira sehari sebelum pergi ke Hospital, Saiful terlebih dahulu berjumpa dengan seorang yang kini senator kerana jasanya menyerang Anwar kemudian barulah esoknya ke hospital seperti semuanya dirancang.
“Rakyat juga seharusnya tidak melupakan bagaimana peranan peguam negara dalam menafikan banyak proses dan cuba mengukuhkan kes yang penuh keraguan. Kes ini juga ada banyak persamaan dengan kes fitnah yang pertama cuma kali ini kesedaran rakyat berada ditahap tinggi,” jelasnya.
Ujar beliau, “sekali lagi bayangkan jika Anwar gagal mengumpul sokongan rakyat dengan mengenengahkan fakta kepincangan kes maka sudah pasti keputusan kes kelmarin adalah berlainan.
“Percayalah keputusan kes ini akan digunakan oleh regim, melalui agen propaganda mereka untuk menunjukkan kononnya sebagai lambang kejayaan transformasi Najib. Maka rakyat cuba akan diperdaya untuk bersama menyokong Najib dalam Pilihan Raya Umum yang amat dekat.
“Rakyat perlu sedar keputusan kes kelmarin bukan lambang transformasi Najib tetapi satu keputusan terpaksa dan kemenangan rakyat,” tegas beliau. -FMT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan