Keterdesakan UMNO dan Barisan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Najib Razak semakin terserlah dan jelas tidak boleh diselindung lagi. Perkiraan Najib untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya umum dalam tempoh terdekat ini bakal mengundang padah yang besar bagi dirinya dan isteri beliau Rosmah, serta pada keseluruhan parti usang UMNO dan Barisan Nasional.
Umum mengetahui bahawa strategi serangan terhadap Anwar Ibrahim adalah usaha terus-terusan UMNO dan Barisan Nasional, dan menghumban Anwar ke dalam penjara dianggap bakal memberi sedikit nyawa untuk mereka terus wujud dan merompak harta rakyat dan Negara.
Terbaru sekali adalah kepolokkan Utusan Malaysia dan Berita Harian, media pembohong milik UMNO yang cukup pantas memetik dan memperbesar kenyataan Raja Petra Kamaruddin tentang fitnah dan tohmahan kes salahlaku seks terhadap Anwar Ibrahim di muka hadapan akhbar masing-masing. Umum tidak harus lupa bahawa Raja Petra Kamaruddin, yang kini semakin diketahui sebagai ‘blogger upahan UMNO’ juga pernah membuat kenyataan bersumpah bahawa Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan kejam model Mongolia Altantuya Shariibu tidak lama dahulu yang walaubagaimanapun, sememangnya dan tentunya tidak dilapor langsung oleh akhbar-akhbar ini.
Fitnah pertuduhan meliwat oleh Anwar Ibrahim yang selama ini menjadi ancaman kepada Najib dan Rosmah bakal diputuskan oleh Mahkamah Tinggi tanggal 9 Januari 2012 ini. Terdesaknya UMNO adalah apabila belum apa-apa, hasrat rakyat kebanyakan untuk keluar memberi sokongan kepada Anwar terus dianggap sebagai cubaan mencetuskan huru-hara. Harus ditekankan bahawa Anwar Ibrahim merupakan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Umum Parti KEADILAN Rakyat. Sebagai seorang pemimpin politik, tentunya beliau mempunyai pengikut dan penyokongnya. Kehadiran pengikut dan penyokong Anwar dan anggota-anggota Parti KEADILAN Rakyat bagi menunjukkan sokongan terhadap beliau tidak harus dianggap sebagai cubaan menghuru-harakan negara. Dari nada pimpinan UMNO dan media milik UMNO berhubung perkara ini kebelakangan ini serta dari pengalaman lampau, saya dapat menjangka bahawa UMNO sendirilah yang akan mencetuskan provokasi pada hari tersebut. Saya sekali lagi menyeru kalangan anggota dan penyokong Parti untuk berhati-hati dan tidak terjebak dengan perangkap UMNO dan Barisan Nasional yang ingin menjadikan 9 Januari ini suatu hari hitam dalam diari perjuangan kita.
Nyata keterdesakan UMNO dan Barisan Nasional untuk terus mengekang dan memadam kebangkitan rakyat telah menjangkau ke tahap kritikal. UMNO dan Barisan Nasional kini umpama ‘telur di hujung tanduk’. Rakyat dan pengundi negara ini telah celik dan cukup sedar bahawa UMNO dan Barisan Nasional telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab yang dimandatkan untuk memimpin negara dan membela nasib mereka. Kesemua penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa pimpinan UMNO dan Barisan Nasional yang telah dibongkar masih belum dapat dijawab oleh Najib dan kabinetnya. Malah dalam kes syarikat Fidlot Nasional, rakyat masih terus dibohong apabila siasatan dan pertuduhan hanya dibuat terhadap lelaki yang disyaki menipu suami kepada Ketua Wanita UMNO Shahrizat Jalil yang juga Pengerusi Eksekutif syarikat itu sendiri dan tidak terhadap pengarah-pengarah syarikat, yang terdiri dari anak-anak mereka mahu pun Shahrizat sendiri.
Rakyat sudah semakin jelek dan bosan dengan cubaan UMNO dan Barisan Nasional untuk terus membohongi dan mengabui mata rakyat. Pendedahan penyalahgunaan wang zakat oleh Ketua Audit Negara oleh Menteri Jamil Khir terus dipertahan. Kezaliman dan penindasan terhadap peneroka-peneroka dalam merebut kekayaan FELDA oleh pemimpin tertentu UMNO terus dipertingkat dan digalakkan. Kebangkitan mahasiswa menuntut penghapusan AUKU dan hak dan kebebasan bersuara serta menentang kezaliman dan kebobrokan UMNO dan Barisan Nasional segera ditentang dengan kekejaman dan kekerasan Polis. Dalam pada itu, usaha memporak-perandakan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini masih dileluasakan.
Saya ingin menyeru dan berpesan kepada rakyat dan pengundi negara ini untuk terus menolak UMNO dan Barisan Nasional yang semakin nyata dalam keadaan keterdesakan yang melampau. -Saifuddin Nasution
Tiada ulasan:
Catat Ulasan