Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail, berkata, ini adalah masanya SPRM mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kredibiliti mereka dalam membanteras rasuah.
“SPRM tidak perlu takut dan tunduk dengan tekanan politik mereka (Umno-BN),” katanya mengulas langkah SPRM menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes yang dikaitkan dengan keluarga menteri, Datuk Seri Shahrizat Jalil itu.
Disamping mengalu-alukan langkah pro-aktif yang diumumkan, KEADILAN turut berharap agensi itu menjalankan siasatan segera.
“Siasatan boleh dijalankan dengan segera kerana kita yakin semua maklumat yang diberikan KEADILAN adalah lengkap dan cukup kuat bagi membantu siasatan dan seterusnya membuat tindakan,” kata Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang.
Semalam KEADILAN membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM Shah Alam bagi menyiasat penyelewengan NFC yang melibatkan dana sebanyak RM250 juta.
Laporan tersebut menjurus kepada kerugian dialami NFC dan penyelewengan wang termasuk pembelian dua unit kondominium mewah di Bangsar dan pembiayaan percutian keluarga Shahrizat ke luar negara.
Selain itu, NFC juga sebelum ini didedahkan membeli kereta mewah jenis Mercedes Benz berharga RM534,622 serta dua bidang tanah bernilai RM3,363,507 di Putrajaya.
Terbaru, keluarga Shahrizat turut didakwa membeli kondominium mewah berharga RM9.9 juta di Singapura, yang turut disyaki menggunakan wang NFC. -KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan