Pengikut

Selasa, 27 Disember 2011

Aziz Bari mungkin bertanding dalam PRU13

Profesor Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Abdul Aziz Bari mungkin bertanding di kawasan parlimen Sabak Bernam pada pilihan raya umum akan datang, seandainya terdapat permintaan dan sokongan agar beliau bertanding di situ.

MerdekaReview dimaklumkan sumber bahawa ada tanda-tanda Aziz Bari bertanding di kawasan parlimen tersebut, melihat kepada kekerapan beliau kembali ke kampungnya di situ kebelakangan ini. Ketika dihubungi MerdekaReview, Aziz Bari enggan mengulas panjang, tetapi berkata, "Kalau ada sokongan, kena fikirkanlah juga, untuk perubahan..."

Dalam PRU 11 pada tahun 2004, calon PKR Badrul Amin Bahron tewas kepada Mat Yasir Ikhsan dari UMNO dengan perbezaan 5,348 undi. Badrul Amin meraih 8,478 undi dari jumlah 30,862 orang pengundi, sementara Mat Yasir memenangi 13,826 undi.

Bagaimanapun, undi majoriti dikurangkan sehingga 1,335 undi dalam PRU 12 pada 8 Mac 2008, Abdul Rahman Bakri dari UMNO menang dengan 12,055 undi berbanding Badrul Amin yang mendapat 10,720 undi. Daripada jumlah 31,381 orang pengundi, 81.25% adalah Melayu, 13.61% adalah Cina, 5.12% adalah India dan 0.02% lain-lain.

Menurut seorang sumber maklumat yang enggan mendedahkan identitinya, tinjauan mendapati kawasan Sabak Bernam mungkin ditembusi Pakatan Rakyat pada PRU akan datang.

Sumber berkata, PKR sepatutnya telah menembusi kawasan itu dalam PRU 12 yang lalu, namun berlaku "politiking" dalaman sehingga calon PKR tewas tipis dengan perbezaan 1,335 undi. Meskipun mengakui bahawa Badrul Amin (gambar kanan) juga seorang pemimpin yang baik, namun sumber tersebut mendakwa bahawa "politiking" yang berlaku di PKR Cabang Sabak Bernam menyebabkan akar umbi gagal disatu-padukan.

Menurut sumber lagi, seandainya Aziz Bari direstui pimpinan tertinggi PKR untuk bertanding di Sabak Bernam, beliau yakin bahawa kemunculan Aziz Bari mampu "meneutralkan" keadaan yang sedia ada.

Sumber yang dekat dengan parti komponen Pakatan Rakyat ini berkata, penampilan Aziz Bari mampu menyuntik keyakinan agar PR menawan kerusi Sabak Bernam.

Badrul Amin juga mantan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), terlibat dalam gerakan Reformasi sejak tahun 1998. Beliau pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua tahun, bersama Tian Chua, Hishamuddin Rais, Saari Sungib, Mohd.Ezam Mohd Nor dan lain-lain.

Aziz Bari mencetus kontroversi apabila mendakwa "tindakan Sultan Selangor campurtangan dalam isu pemeriksaan gereja Methodist di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu, bukan tindakan lazim", ketika ditemuramah Malaysiakini.

Kenyataan pakar perlembagaan ini dibidas dalam Utusan Malaysia, malah ada yang membuat aduan polis terhadap Abdul Aziz Bari dan Malaysiakini.

Ekoran daripada itu, Abdul Aziz Bari dan wartawan Malaysiakini disoal-siasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada 17 Oktober 2011.

Jawatan Aziz Bari digantung, dan beliau menerima surat tunjuk sebab daripada UIAM pada 19 Oktober 2011. Siswa-siswi dan orang awam bangkit mempertahankan Aziz Bari, mengutuk tindakan mencabul kebebasan akademik.

Keputusan penggantungan tersebut ditarik balik kemudian lantaran desakan umum, namun Aziz Bari akhirnya memilih untuk meletak jawatan. -RM

1 ulasan:

  1. Antara keceluparan sikap aziz bari ,kemana menghilangnya beliau ketika kunjungan pemimpin kanan Pakatan Rakyat di Stadium Sabak Bernam,aziz bari tidak mengalu-alukan kunjungan MB Selangor sebagai pengerusi PKR negeri..ini kah calon yang di katakan berpotensi untuk menang?..jauh panggang dari api kalau yang dicanang cuma soal undang2,bukan soal kebajikkan,di Sabak Bernam kebanyakkan nya adalah masyarakat orang Kampung yang perlukan pembelaan,bukan nya undang2..begitu juga cara aziz bari yang cuba membawa demontrasi menentang MB dalam soal pemilikkan tanah di sg.Tengar utara,terang2 aziz bari tidak melalui prosedur kerajaan negeri,disini sahaja aziz bari sudah menentang dasar pakatan rakyat..

    BalasPadam