Dakwaan terbaru oleh pemimpin PKR berhubung salah guna ini muncul beberapa jam selepas Shahrizat mempertahankan dirinya ketika berucap pada Persidangan Agung Tahunan Wanita di sini pagi ini.
PKR juga berkata NFC telah mengeluarkan sebanyak 15 cek bagi agensi pelancongan Impian Global Network Services.
Mendedahkan perkara itu petang ini, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli (kanan) mendesak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat “memberitahu siapa yang pergi bercuti.”
Rafizi menambah RM534,622 digunakan untuk membeli Mercedes Benz CLS350, dana NFC yang disalurkan kepada National Meat and Livestock Corporation (NMLC) dan RM588,585 lagi dipindahkan kepada Meatworks (Singapore), kedua-dua syarikat yang milik penuh keluarga Shahrizat dan tiada apa-apa kaitan dengan rancangan perniagaan NFC.
“Ketua Pemuda Umno (Khairy Jamaluddin) ada mengatakan bahawa NFC tiada bisnes di Singapura... jadi mengapa sejumlah wang itu dipindahkan ke sana?” kata beliau pada sidang media di sini.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail berkata, tanah juga dibeli di Precinct 10 Putrajaya, yang sebahagian besar merupakan kawasan kediaman.“Saya pasti pelan induk Putrajaya tidak melibatkan ternakan lembu di sana,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Machang.
Semasa mempertimbangkan syarikat-syarikat yang berkelayakan dan berpotensi untuk menerajui Projek Fidlot Kebangsaan, anak muda ini yang telah menghabiskan bertahun-tahun masa dan wang simpanannya untuk mengejar cita-cita beliau, tidak pula dipanggil untuk turut serta dalam proses tender.
Saifuddin (gambar kiri) juga berkata, PKR bertegas bahawa proses anugerah projek NFC kepada keluarga Shahrizat adalah tidak telus dan menyeleweng kerana salah satu syarikat yang paling awal mencadangkan projek ini langsung tidak dipanggil untuk turut serta.
“Ini telah menjadi penyakit dalam Umno bila mana idea dan keringat orang lain dicuri untuk menyelewengkan wang rakyat.
“Oleh itu, PKR mendesak Perdana Menteri bertanggungjawab dengan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Projek Impak Tinggi yang dipengerusikan beliau kerana keputusan itu penuh dengan unsur penyelewengan dan menindas usahawan-usahawan muda yang bertungkus-lumus berusaha,” katanya.
Merujuk kepada kenyataan-kenyataan pimpinan Barisan Nasional termasuklah Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bahawa penganugerahan NFC kepada syarikat milik keluarga menteri terbabit dibuat mengikut prosedur bidaan dan tender yang betul, kata Saifuddin:
“Saya juga merujuk kepada kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bahawa kelulusan pinjaman RM250 juta dan penganugerahan projek tidak dibuat di Kabinet, sebaliknya di peringkat Jawatankuasa Projek Impak Tinggi yang dipengerusikan Perdana Menteri sendiri.”
Katanya, mengambil kira keangkuhan pimpinan Umno terutamanya Shahrizat yang sedikit pun tidak mahu memahami kemarahan rakyat mengenai isu ini, PKR pada hari ini mendedahkan bahawa idea asal untuk mewujudkan sebuah industri daging dan penternakan komersil telah dibawa seawal tahun 2003 oleh sebuah syarikat usahawan muda Bumiputera.
“Cadangan asal yang dibincangkan di peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Mardi dan kerajaan Negeri Sembilan langsung tidak membabitkan suntikan dana atau pinjaman dari kerajaan.
“Syarikat terbabit hanya memohon persetujuan kerajaan negeri untuk menyewa tapak ladang penternakan di Gemas,” katanya lagi.
Kata beliau, syarikat terbabit juga telah berjaya mendapat khidmat nasihat dan kerjasama dari Profesor Jerry J Reeves, seorang pakar teknologi penternakan dari Washington State University.
“Ladang ternakan tersebut bakal menggunakan teknologi terkini untuk membangunkan baka terbaik tempatan melalui proses artifisial ‘insemination’ menggunakan mani dan embrio baka lembu wagyu.
“Proses sebegini dijangkakan adalah lebih mudah dan murah untuk membangunkan ladang satelit dan membantu penternak kecil berbanding dengan kaedah mengimport lembu untuk digemukkan di fidlot seperti yang dibuat NFC,” katanya lagi.
Malah menurut beliau, syarikat terbabit telah mengadakan perbincangan lanjut dengan Mardi dan hampir menandatangani memorandum persefahaman.
“Cadangan ini juga telah dibawa ke peringkat tertinggi di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta kerajaan Negeri Sembilan.
“Malangnya, cadangan dan usaha anak muda usahawan Bumiputera ini akhirnya terbantut di situ sahaja setelah mereka membelanjakan hampir RM300,000 membuat persediaan,” kata beliau lagi. -TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan