Pengikut

Selasa, 15 November 2011

Jamil Khir, bukan nak membantu tapi mengampu - Mufti Perlis

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menyelar tindakan "penasihat agama" yang didakwanya tidak membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam urusan haji, sebaliknya "lebih kepada budaya ampu".

"Yang bagi komen di Malaysia ini kononnya hendak bantu, sebenarnya bukannya membantu akibat tidak mahu faham, tetapi lebih kepada budaya ampu.

"Jadi rakyat makin keliru. Perkara asas ilmu haji, saya yakin semua jemaah dan bekas jemaah haji semua boleh faham," kata Juanda (kiri) yang juga bekas profesor pelawat di Universiti Oxford, United Kingdom.

Beliau mengulas reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan penasihat agama kepada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Md Zin yang dilapor mempertahankan status haji Najib setelah ditegurnya sebelum ini.

Juanda pada 9 November lalu melahirkan rasa terkejut dengan laporan berita bahawa seorang pemimpin kanan negara bersama isterinya serta orang kenamaan lain telah selesai ibadat haji.

Sedangkan, katanya, paling awal jemaah haji menamatkan ibadat paling awal pada 8 November atau 12 Zulhijah selepas solat Zohor bagi yang nafar awal.

'Tak dimanfaat, tak bermanfaat'

Susulan itu, Jamil Khir (kanan) menjelaskan, kenyataan daripada Twitter Najib bahwa beliau selesai menunaikan haji, sedangkan masih ada rukun belum dilaksanakan, telah disalah tafsir dengan selesai wukuf.

Manakala Abdullah pula menyifatkan tuduhan bahawa Najib dan isteri gagal mengerjakan haji sebagai fitnah pihak yang terdesak, yang didakwa mengeksploitasi agama untuk mengelirukan orang ramai.

Katanya, dakwaan Najib dan isterinya Rosmah gagal mengerjakan haji merupakan fitnah oleh orang "jahil" dalam ilmu mengerjakan haji.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini semalam, Juanda berkata, beliau kasihan kepada Najib yang mempunyai pegawai yang banyak tetapi "tidak dimanfaat dan tidak bermanfaat".

"Kenapa tak bawa penasihat-penasihat agama ini daripada awal dalam rombongan PM yang 20 orang itu, agar hal macam ini tak berlaku daripada awal?

"Berlambak mereka ini ikut buat haji. Jemaah haji biasa pun duduk dengan pembimbing haji siang malam agar dibantu dan diberi nasihat ibadat," katanya.

Yakin haji lengkap, PM salah tweet

Juanda yang juga profesor pelawat di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) di Shah Alam berkata, komen pihak lain, yang tiada dalam rombongan itu akan merendahkan lagi imej Najib dan merumitkan lagi keadaan.

"Jadi, buat sesuatu biar betul daripada awal awal dalam semua perkara. Kalau tak tahu, eloklah bertanya. Ia tidak akan merendahkan kedudukan sesiapa pun," katanya.

Mengulas status haji Najib, Juanda berkata, beliau yakin ia lengkap dan perdana menteri tersilap tweet.

"Beliau bermaksud selesai rukun haji. Saya juga tahu PM mabit di Mina dua malam dan melontar dua hari tasyriq. Beliau nafar awal ke Jeddah untuk menghadap Putera Nayef sebelum balik Malaysia. Beliau juga tawaf Wada' sebelum balik ke Jeddah," katanya.

Beliau juga menjelaskan, terdapat pihak hendak mengulas isu itu tidak cukup mendalami ilmu haji dan perkara cabang berkaitannya.

Juanda pernah menjadi penasihat haji Malaysia selama enam tahun sehingga 2008 dan pengerusi panel penyediaan buku panduan ibadah yang diterbitkan oleh Tabung Haji.

Beliau juga pernah menjadi guru agama haji muassasah dan pakej untuk orang kenamaan Tabung Haji dari 1996 hingga 2008. -MK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan