Sambil menegaskan tuduhan murtad amatlah besar, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, menyatakan sejumlah besar Muslim murtad adalah memalukan umat Islam itu sendiri dan Exco Kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali wajar mengeluarkan senarai mereka yang meninggalkan Islam untuk memberi gambaran sebenar dan mencari punca-punca yang membawa kepada masalah tersebut.
“Perlu tanggungjawab atas dakwaan ini,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini sambil menambah bahawa “saya mengharapkan pihak beliau boleh mengeluarkan nama-nama mereka berkenaan jika benar wujud.
“Kedua, dengan senarai nama itu, boleh membantu untuk pihak lain membuat kajian tentang punca murtad jika benar berlaku,” katanya lagi.
Dalam kenyataan terbaru, Hasan yang merupakan pengerusi jawatankuasa yang menguruskan hal ehwal Islam negeri berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ada mengesan kegiatan di kalangan Kristian menggunakan alat-alat canggih seperti kitab Injil menggunakan kuasa solar untuk memurtadkan Muslim.
Hasan, bekas pesuruhjaya PAS Selangor pada akhir bulan lalu menyertai Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang membincangkan isu berkaitan murtad, yang didakwa semakin serius di negara ini.
Bagaimanapun tiada angka tepat dikeluarkan mengenai bilangan mereka yang keluar Islam, meskipun penganjur Himpun mendakwa angka itu amat membimbangkan.
Himpun juga meluluskan resolusi 10 perkara antara lain menggesa kerajaan mengadakan akta khusus mengawal gejala pemurtadan.
Asri berkata dalam artikelnya yang dikeluarkan dua bulan lalu, bertajuk “Menangisi murtad dan zakat”, beliau sendiri pergi berjumpa dengan pihak yang dikatakan murtad itu.
“Boleh rujuk kepada artikel itu. Ya, sesetengah pihak menyebut ratusan ribu, ada yang menyebut puluhan ribu, ada yang menyebut beribu-ribu.
“Harap nama-nama mereka dapat diserah kepada pihak-pihak yang dapat mengkaji punca untuk mengatasi masalah,” katanya.
Justeru tambah beliau, janganlah ia hanya satu dakwaan kosong yang tiada bukti yang diyakini ataupun memang wujud tetapi tidak berani didedahkan kerana mereka tahu mungkin kesalahannya akan balik kepada pihak berkuasa yang menguruskan urusan agama itu sendiri.
“Saya bimbang cara Exco PAS (Hasan) mengendalikan isu-isu ini memperlihatkan corak pemerintahan sesetengah mereka jika berkuasa penuh nanti.
“Saya amat bimbang. Saya bimbang usaha mempertahankan Islam sebegini secara tidak langsung boleh memperlekehkan umat dan agama Islam sendiri tanpa sedar,” kata Asri yang kini merupakan Felo Pusat Pengajian Islam Oxford.
Katanya, “mungkin kita ingin menutup kelemahan kita dengan menuding jari kepada pihak lain.”
Jelas Asri, itu bukan tindakan yang baik bagi pihak yang berkuasa.
“Memalukan, umat yang majoriti sering menampilkan diri sebagai tertindas oleh agama yang minoriti.
“Padahal jika kita benar-benar menggerakkan kemampuan yang ada dalam kalangan Islam di Malaysia, banyak yang boleh dilakukan,” kata beliau lagi.
“Malanglah jika Exco agama yang memerintah negeri dengan segala dana harta dan kuasa membuat kenyataan bagaikan seorang Muslim di Selatan Thailand yang tertindas,” kata Asri lagi.
Justeru kata beliau, cara dan gaya mempertahankan Islam pada era ini memerlukan pendekatan lebih bersifat semasa dan berkesan.
Tambah beliau, sepatutnya sebagai “parti alternatif” Pakatan Rakyat mempelopori pendekatan baru yang lebih berkesan dan meninggalkan cara lama yang mungkin sudah tidak sesuai untuk era ini.
“Malangnya hal ini tidak berlaku. Menyedihkan. Orang lain tertawakan cara kita, maka jangan hairan jika ada Muslim juga yang bertambah “keliru.
“Mungkin yang hendak masuk Islam menjadi terbantut, yang lemah iman tergugat. Maka jangan hairan jika benar ada yang murtad atau yang baru masuk ingin keluar semula. Siapakah punca langsung dan tidak langsung? Berhati-hati dalam isu ini,” kata beliau lagi. -TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan