Kuala Lumpur: “Saya sarankan kepada rakan artis supaya tidak memberikan pandangan mengenai hukum hudud berbentuk peribadi, sebaliknya rujuk kepada pakar (ulama) terlebih dulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan,” kata pengacara TV3, Wardina Saffiyah Fadlullah Wilmot, 32.
Itu antara luahan hati Wardina berhubung laporan sebuah akhbar bertarikh 25 Oktober lalu, apabila beberapa selebriti tempatan memberikan pandangan peribadi mengenai hukum hudud sama ada wajar atau tidak dilaksanakan di negara ini.
Antara artis memberikan pandangan mereka adalah Datuk Aziz Sattar, Ayu Raudhah, Enot, Alif Satar, Cat Farish dan Heliza AF.
Menurut Wardina, hukum hudud satu perkara sensitif yang seharusnya dirujuk kepada ulama dan pengamal undang-undang bukannya boleh dikeluarkan pandangan sesuka hati saja.
“Kita (artis) perlu tahu bahawa analogi hudud adalah perkara yang sangat teknikal dan sensitif yang mana sekiranya pendapat yang dikeluarkan salah, maka ia boleh menyinggung hati banyak pihak,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, artis dan selebriti sewajarnya memberikan fokus hanya pada bidang yang diceburi mereka seperti pengalaman, seni, filem, muzik dan lakonan. -hm
p/s: Terima kasih dan syabas Wardina kerana memberikan saranan baik untuk rakan artisnya di dalam isu hudud. Itulah kebenarannya iaitu: jika tidak tahu seseuatu mengenai hukum Islam, maka rujuklah pakar (ulama) terlebih dulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan. Jangan amalkan sikap memberi pandangan kepada sesuatu hal yang kita tidak tahu atau tidak mempunyai ilmu mengenainya. Bukan tidak boleh memberi pandangan, tetapi hendaklah sekurang-kurangnya kita tahu tentang subjek yang hendak kita berikan pandangan itu kerana:
Firmanullah s.w.t. وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak ketahui; sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan ditanya apa yang dilakukan. Surah : Al Israa : 36.
-RM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan