Pengikut

Khamis, 15 September 2011

Koperal Jenain didapati salah sebabkan kematian Aminulrasyid

Koperal Jenain Subi didapati bersalah menyebabkan kematian pelajar Aminulrasyid Amzah akhir April tahun lalu, kes yang menarik perhatian seluruh negara mengenai soal pematuhan peraturan oleh anggota pasukan keselamatan sendiri.

Dalam keputusannya hari ini, Hakim Latifah Mohd Tahar memutuskan bahawa penggunaan senjata oleh Jenain, yang berakhir dengan 21 tembakan, satu tindakan keterlaluan dan tidak wajar untuk menghentikan kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid.

Anggota polis itu dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen.

Latifah membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Jenain, 48, didakwa melakukan kesalahan itu antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Kes kematian Aminulrasyid, 15, mendapat liputan meluas dan kecaman masyarakat selepas remaja itu mati terkena tembakan di kepalanya ketika dikejar anggota peronda yang sebelum itu mengarahkan dia yang memandu kereta Proton Iswara, berhenti.

Seramai 39 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan. -TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan