Pengikut

Isnin, 26 September 2011

Isu Hudud: Pemimpin Pakatan tolong ‘tutup mulut’

Komponen Pakatan Rakyat sebulat suara mencapai kata sepakat untuk mengarahkan agar kesemua pimpinan parti masing-masing agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hudud sehingga satu mesyuarat Rabu ini.

Arahan ini dikeluarkan berikutan pendirian bersama yang akan dibuat pimpinan Pakatan Rakyat lusa.

Perkara itu diumumkan pada sidang media petang ini, yang disertai Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan rakan sejawatannya dari PKR Saifuddin Ismail Nasution serta Ketua Pemuda DAP Anthony Loke.

Loke mewakili Lim Guan Eng kerana Ketua Menteri Pulau Pinang kini berada di luar negara.

Isu hukum hudud telah muncul semula minggu lalu sehingga membawa kepada pendirian keras kedua-dua PAS dan DAP.

“Kami tidak mempersalahkan sesiapa kerana mengeluarkan kenyataan mengenai hudud tetapi ia telah diperbesar-besarkan sekarang.

“Itu sebabnya kami telah memutuskan bahawa dari segi pentadbiran, mulai hari ini sehingga 28 September (Rabu), tidak harus ada apa-apa kenyataan mengenai perkara ini daripada kesemua parti sama ada PAS, PKR atau DAP,” kata Mustafa pada sidang media bersama petang ini.

Mustafa, Saifuddin dan Loke menegaskan keseluruhan debat dicetuskan oleh Barisan Nasional (BN) bagi menjejaskan kedudukan Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13 yang dijangka diadakan dalam tempoh setahun ini.

Tetapi Saifuddin menekankan Pakatan Rakyat telah mencapai satu tahap kematangan dan kerjasama yang tidak boleh diganggu-gugat menerusi apa jua usaha BN.

“Mereka hendak menggunakannya sebagai satu strategi untuk mencetuskan salah faham dan keraguan membabitkan parti-parti Pakatan Rakyat. Tetapi kita tidak boleh takut dengan agenda mereka,” kata Mustafa.

Mustafa menjelaskan, apabila rang undang-undang hukum hudud dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1993 ia turut disokong oleh wakil rakyat dari Umno dan juga enam anggota dari Semangat 46, yang dahulunya diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

“Apa yang dikatkan oleh beliau (Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) adalah dalam konteks rang undang-undang yang diluluskan pada 1993. Bukan melibatkan keseluruhan Malaysia... ia berbeza daripada satu negeri ke negeri lain.

“Dalam isu ini, mana-mana Muslim tidak boleh tolak hudud... ia hanya dari segi pelaksanaan, kita kena lihat beberapa isu,” kata Mustafa.

Minggu lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menyekat Kelantan daripada melaksanakan hukum hudud berkata, Nik Aziz boleh membawa perkara itu ke perhatian pentadbiran Najib jika mahu. -TMI

Nik Aziz meminta Najib menarik balik surat sekatan yang dikeluarkan oleh Dr Mahathir pada 1994.

Malah pada minggu lalu, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menyokong hukum hudud tetapi perkara itu tidak pernah dibincangkan di peringkat Pakatan Rakyat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan