Pengikut

Jumaat, 23 September 2011

Isu Hudud dimainkan petanda pilihanraya sudah dekat

Isu pelaksanaan hukum hudud tidak akan kedengaran atau ia tidak akan menjadi polemik jika tidak kerana datangnya musim pilihan raya.

Kemunculan semula isu pelaksanaan hukum Hudud yang dimulakan oleh pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) menandakan pilihan raya umum (PRU) sudah hampir tiba.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Nasrudin Hassan Tantawi berkata, isu pelaksanaan hukum hudud tidak akan kedengaran atau ia tidak akan menjadi polemik jika tidak kerana datangnya musim pilihan raya.

“Isu ini tidak pernah muncul pada musim panas mahu pun musim sejuk. Juga tidak timbul pada musim kemarau atau musim hujan.

“Bahkan isu hukum hudud ini tidak langsung kedengaran pada musim-musim lain seperti musim haji, musim perayaan, musim cuti hatta musim durian sekali pun. Isu hudud hanya muncul dengan segala ribut polemiknya apabila tiba musim pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, hudud adalah sebahagian dari syariat Allah swt yang telah dinaskan di dalam al-Quran. Tuntutan melaksanakannya adalah kekal sejak ia diwartakan oleh Allah swt sebagai Tuhan yang mencipta langit, bumi, manusia dan seluruh alam cakrawala ini.

“Justeru itu, ia bukan satu isu! Sebaliknya ia adalah ilmu dan syariat yang mesti dipelajari, difahami, dilaksana dan dihayati oleh umat Islam,” tambahnya.

Ujar beliau, “saya kagum dan menyokong kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan yang konsisten dengan pendirian dan prinsip perjuangan Islam yang didokong.

“Sebetulnya semua pemimpin dan anggota Jemaah Islam perlu istiqamah dalam hal ini maka saya tidak nampak sebarang isu atau polemik di situ melainkan musim pilihan raya telah tiba.

Pelaksanaan hukum hudud katanya, tidak layak dibahaskan di media kerana ia bukan isu politik untuk dipolemikkan tetapi ia adalah ilmu dan syariat yang mempunyai kaedah, usul dan fiqh yang perlu dipelajari dengan jujur, difahami dengan halus, diamal dengan telus dan dihayati dengan tekun.

“Perbahasan dan pengkajian mengenai hudud mesti melalui seminar kefahaman yang berterusan, pengajian khusus di pusat pengajian Islam seperti Universiti, madrasah, masjid, usrah, forum, diskusi, wacana, dialog atau halaqah-halaqah tertentu yang dilakukan secara berterusan,” terangnya.

Kata Nasrudin, “saya menyarankan kepada semua termasuk bukan Muslim dan khasnya kepada pemimpin-pemimpin Umno-BN yang mahu memahami dan mendalami hukum hudud dan pelaksanaannya supaya daftar dan menyertai kelas pengajian di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad [KUIZM].

“Inilah antara tempat yang sesuai untuk belajar, berdiskusi dan berwacana ke arah memahami hukum hudud yang sebenar sebagaimana yang dikehendaki oleh syara’,” jelas beliau.

Menurut beliau, berbahas dan berpolemik di dada media, pula mendedahkan isu ini kepada komentar orang ramai yang bercakap tidak berasaskan ilmu adalah suatu yang tidak selayaknya berlaku justeru ia akan mendedahkan kesucian hukum Allah swt ini kepada pencemaran fikrah (pemikiran) dan aqidah (keyakinan).-FMT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan