Pengikut

Jumaat, 5 Ogos 2011

Yingluck PM wanita pertama Thai

Yingluck Shinawatra, adik bekas Perdana Menteri Thailand, PautanThaksin, pada Jumaat dipilih oleh Parlimen sebagai Perdana Menteri Thailand yang ke-28 dan merupakan Perdana Menteri wanita pertama negara itu.

Beliau memenangi jawatan itu tanpa tentangan semasa proses pengundian dijalankan oleh penggubal undang-undang dengan 296 menyokong, tiga menentang dan kebanyakan anggota pembangkang berkecuali.

Yingluck, 44, dijangka menubuhkan Kabinetnya minggu depan, kata laporan Bernama Online hari ini.

Parti beliau, Pheu Thai memenangi pilihan raya 3 Julai lepas dengan memperolehi 265 kerusi dan menubuhkan kerajaan campuran dengan lima parti lain, menjadikan jumlah kerusi yang dikuasai kerajaan kepada 300 daripada 500 kerusi di Dewan Perwakilan.

Kerajaan sebelum ini yang dipimpin oleh parti Demokrat terpaksa berpuas hati sebagai pembangkang selepas memperolehi 159 kerusi.

Yingluck berkelulusan ijazah sarjana muda dari Fakulti Sains Politik, Universiti Chiang Mai dan memperolehi ijazah sarjana dalam Pentadbiran Awam dari Kentucky State University.

Beliau berkahwin dengan seorang ahli perniagaan, Anusorn Amornchat, dan mereka mempunyai seorang anak lelaki berusia sembilan tahun.

Yingluck, bekas Presiden SC Asset Corporation, syarikat pembangunan hartanah, sebelum bertanding pada pilihan raya itu.

Beliau tidak memegang sebarang jawatan penting di dalam partinya dan dilaporkan bekerja di belakang tabir menguruskan kewangan parti kerana Thaksin menjadi pemimpin ‘de facto’ parti.

Yingluck, merupakan anak bongsu daripada sembilan adik-beradik, menyertai parti itu sebelum pilihan raya umum diadakan selepas Thaksin memilih beliau menjadi calon utama parti.

Thaksin turut menggambarkan adiknya sebagai klon beliau dari segi pengurusan dan cara pemikiran.

Kepimpinan Thaksin selama enam tahun berakhir sebelum tempohnya ekoran rampasan kuasa tanpa menumpahkan darah berlaku pada 19 September 2006 dan kini beliau tinggal dalam buangan selepas mahkamah Thailand mendapati beliau bersalah kerana rasuah pada 2008 dan dijatuhi hukuman penjara tanpa kehadirannya, selama dua tahun.

Situasi politik di negara itu dilihat tenang selepas pilihan raya, tiada lagi penunjuk perasaan jalanan.

Antara cabaran yang bakal dihadapi Yingluck ialah menunaikan janji yang dikotakan oleh partinya — menaikkan gaji minimum kepada 300 baht (kira-kira RM30) sehari, menyediakan komputer percuma kepada semua pelajar, iaitu kira-kira satu juta pelajar dan memotong cukai korporat kepada 22 peratus daripada 30 peratus.

Beliau juga perlu menangani masalah ekonomi yang dihadapi oleh warga Thai berikutan kenaikan kos sara hidup.

Selain itu, pemerhati politik juga mahu beliau membuktikan keupayaannya untuk memimpin dan membuat keputusan sendiri dan bukan sebagai boneka yang dikuasai oleh abangnya. -TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan