Pengikut

Jumaat, 19 Ogos 2011

Tentera hanya perlu setia pada YDP Agong dan negara

Pakar Perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari (gambar) menyelar kenyataan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berhubung penafiannya terhadap dakwaan berlakunya manipulasi undi pos.Abdul Aziz berkata, kenyataan Zulkifeli, khususnya soal kesetiaan kepada kerajaan adalah “memalukan perkhidmatan” dan menunjukkan kegagalannya memahami konsep kesetiaan dalam konteks negara dan warga.

“Setia dengan siapa? Parti politik tak perlu setia dengan ATM (Angkatan Tentera Malaysia). Semua orang kena setia kepada negara yang lambangnya ialah YDP (Yang di-Pertuan) Agong,” kata Abdul Aziz sambil menyifatkan kenyataan Zulkifeli sebagai pelik.

“ATM – sebagai salah satu cabang perkhidmatan awam persekutuan – hanya perlu setia kepada negara dan Agong. Tak perlu setia kepada kerajaan yang memerintah. Perkhidmatan awam wajib neutral, bukan menyebelahi parti pemerintah.”

Zulkifeli semalam menyalahkan PAS dan menafikan dakwaan manipulasi undi pos yang dibuat oleh empat bekas anggotanya dalam sidang media anjuran dewan itu di ibu negara.

Sambil menyifatkan perkara itu “tidak boleh berlaku”, beliau berkata ATM sentiasa apolitikal dan hanya akan menyokong kerajaan yang dipilih rakyat dan juga setia kepada Yang Di-Pertuan Agong.

Tambahnya, pihak yang bercita-cita untuk memerintah perlu mendapatkan sokongan daripada rakyat terlebih dan setia serta menyokong angkatan tentera.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini semalam, Abdul Aziz berkata, ATM hanya perlu jalankan perintah kerajaan yang selaras dengan undang-undang.

Sedangkan, dakwanya, apa yang berlaku dalam konteks undi pos adalah jenayah.

“ATM perlu buktikan tidak berlakunya hal itu. Bukan buat penafian kosong. Tubuhkan jawatankuasa penyiasat sekurang-kurangnya,” kata pensyarah kanan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.

Abdul Aziz juga berkata, tindakan Zulkifeli ‘menyerang’ kembali Pemuda PAS yang mengetengahkan isu itu juga tidak wajar kerana dia sepatutnya berterima kasih terhadap dewan itu.

“PAS hanya mewakili rakyat yang mahukan pilihan raya yang bersih dan bebas dari penipuan. ATM perlu jelaskan yang ia bersih, bukan menuntut rakyat setia kepada ATM ATM adalah milik rakyat. Ini yang panglima ATM kena faham,” katanya.

Dengan sinis, Abdul Aziz mengingatkan Zulkifeli supaya tidak mengikuti jejak ketua polis negara dan timbalannya yang didakwa “mengeluarkan pelbagai kenyataan yang menghina rakyat dan mengengkari perlembagaan”.

“Saya boleh ibaratkan (tindakan Pemuda PAS) sebagai tindakan pengkhianatan sebab ambil kesempatan,” katanya lagi ketika ditanya sama ada angkatan tentera akan mengambil tindakan ke atas bekas anggota berkenaan.

Ketika ditemui selepas itu, Zulkifeli dengan tegas berkata tindakan memangkah undi bagi pihak anggota lain seperti didakwa itu “tidak boleh berlaku.”

“Macam mana ia boleh berlaku, kita tidak akan benarkan ia berlaku,” tambah Zulkifeli lagi, mengulas dakwaan yang ditimbulkan bekas anggota tentera itu bahawa mereka diarahkan untuk memangkah ribuan kertas undi semasa pilihan raya sebelum ini.

Dalam sidang medianya, Zulkifeli berkata tindakan “mencemuh” sistem yang digunakan pakai dalam angkatan itu juga serius kerana boleh menjejaskan moral anggota tentera, katanya lagi.

Tambahnya, pihak yang bercita-cita untuk memerintah perlu mendapatkan sokongan daripada rakyat terlebih dahulu dan juga menyokong angkatan tentera.

“Anda perlu sokong kami, akui pengorbanan kami… Tidak kira siapa pun yang perintah, ini sajalah angkatan bersenjata yang ada.

“Jika anda tidak setia kepada kami, bagaimana kami tidak boleh jadi tidak setia kepada anda?” kata Zulkifeli lagi. -KLT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan