Ketua PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin menegaskan bahawa beliau tidak perlu memohon maaf kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung dakwaan isu cincin bernilai RM24.45 juta.
Ini berikutan permohonan maaf oleh akhbar Indonesia, Kompas baru-baru ini yang memetik laporan media cetak dan elektronik di negara ini yang mempersoalkan bagaimana dan di mana Rosmah mendapat cincin semahal itu.
Ketika dihubungi FMT hari ini, beliau berkata beliau tidak akan memohon maaf kepada Rosmah walaupun beliaulah orang yang pertama yang mendedahkan perkara ini.
“Sejak semalam saya dihubungi ramai wartawan apabila media arus perdana digunakan untuk menyerang saya dalam isu pendedahan berlian bernilai RM24.45 juta yang dikaitkan dengan Rosmah.
“Saya dituntut supaya meminta maaf dan dituduh diam dan gagal menjawab kononnya pendedahan saya itu satu pembohongan.
Sebenarnya saya tidak perlu mohon maaf sebaliknya Rosmah yang perlu memberikan penjelasan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, “sudah hampir sebulan pendedahan mengenai wujud satu kemasukan berlian bernilai RM24.45 juta ke dalam negara ini dikaitkan dengan beliau (Rosmah).
“Sejak itu dia diam dan membisu cuma ‘pengampu-pengampu’ dia yang sibuk bertungkus lumus menjawab. Cuma sekali dia menjawab….. itupun hanya menuduh ia fitnah tanpa sebarang penjelasan,” kata Badrul Hisham.
Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata ada pihak pengampu yang mengatakan bukti tersebut palsu tetapi akhirnya tidak boleh disangkal setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan dokumen tersebut.
“Kemudian muncul pula borang kastam kedua kononnya berlian itu dibawa keluar ke Singapura empat hari selepas itu.
Semuanya sulit
“Kononnya berlian itu untuk satu pameran berlian yang diadakan secara sulit, di tempat yang sulit dengan tetamu-tetamu yang sulit.Semua yang sulit itu sedang diusahakan dan disusun skripnya,” katanya.
“Mungkin kerana gagal menyusun skrip pameran sulit maka seorang lagi pengampu muncul dan mengatakan berlian tersebut bukan milik Rosmah tetapi milik besannya. Jadi mana yang betul sebenarnya?,” tanya Chegu Bard.
Chegu Bard turut mengulas bahawa ada pengampu Rosmah menuduh kononnya komplot serangan ini ada kaitan dengan Ketua Pemuda Umno dan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.
Ujar beliau, “saya katakan ia tidak ada kena mengena. Kalau mereka ada masalah antara mereka pun saya tidak minat masuk campur.”
“Saya tidak menuduh sesiapa tetapi kewujudan borang kemasukan berlian bernilai tinggi itu dan tertera dengan jelas nama orang yang menyamar wanita pertama negara ketika rakyat susah dihimpit kenaikan kos hidup perlu diperjelaskan.
“Dia bukan pegawai kastam, dia bukan pegawai syarikat penghantaran dan adakah dia membuat kerja ‘part time’ sebagai penganjur pameran? Adakah sesuai dengan imejnya yang menyamar sebagai wanita pertama dan membuat kerja part time?,” soal Chegu Bard lagi. - FMT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan