Pengikut

Khamis, 25 Ogos 2011

Khalid Samad akan saman Papa Gomo

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad sudah memulakan langkah untuk menyaman pemblog pro-Umno Papa Gomo berhubung isu kontroversi Gereja Methodist Damansara Utama-Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Sehubungan itu Khalid (gambar) yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor mencabar Papa Gomo agar mendedahkan butiran penuh tentang dirinya untuk meneruskan “perjuangan.”

“... bagi memulakan ‘perjuangan’ ini, saya ingin memohon supaya Papa Gomo menyatakan nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat penuhnya supaya dapat saya minta peguam saya untuk menyaman beliau dalam isu ini.

“Maka saya berharap agar rakannya yang membaca blog saya boleh menyampaikan permohonan saya ini kepadanya,” kata Khalid dalam entri terbaru blognya.

Khalid menambah, sekiranya tiada jawapan daripada Papa Gomo, maka semakin jelas “bravadonya juga merupakan satu pembohongan.”

“Namun, ia tidak bererti bahawa saya tidak boleh dapatkan segala maklumat yang saya perlukan daripada sumber lain dan oleh itu, tidak bererti bahawa dia akan semestinya terlepas.

“Hanya saya ingin memberinya peluang untuk dirinya membuktikan ‘keberaniannya’; itupun kalau beranilah,” kata Khalid lagi.

Dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider hujung minggu lalu, Papa Gomo menafikan dia memalsukan dokumen Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berhubung dakwaan campur tangan pemimpin Pakatan Rakyat berkaitan operasi menyita premis Gereja Methodist Damansara Utama atas dakwaan ia tidak pernah diluluskan sebagai rumah ibadat.

Sebaliknya Papa Gomo berkata, dia mendapat maklumat tentang operasi itu daripada “orang dalam” MBPJ yang turut menyerahkan dokumen yang didakwa palsu itu.

Sebelum itu dia mendakwa operasi menyita premis Gereja Methodist Damansara Utama dibatalkan setelah mendapat arahan pemimpin Pakatan Rakyat.

Dokumen dengan label “Sulit” bertajuk “Laporan Ops Sita Gereja Methodist Damansara Utama oleh Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan Majlis Bandaraya Petaling Jaya” itu dimuatkan di laman blog Papa Gomo 13 Ogos lalu.

Dokumen berkenaan antara lainnya mendakwa, operasi untuk menyita gereja berkenaan telah dibatalkan selepas mendapat arahan daripada pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, Khalid dan tiga Exco Kerajaan Negeri Selagor Ronnie Liu, Elizabeth Wong dan Teresa Kok.

Ekoran pendedahan di blog Papa Gomo itu, ahli-ahli MBPJ termasuk Khalid telah membuat satu laporan polis terhadap Papa Gomo minggu lalu.

Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan MBPJ Mohd Fauzi Maarop dalam laporan polis itu berkata tiada sebarang mesyuarat diadakan untuk mengambil tindakan ke atas premis Gereja Methodist Damansara Utama.

Papa Gomo berkata dia sedia disoal siasat oleh polis dan sanggup mempertahankan kesahihan dokumen yang diterima daripada “orang dalam” MBPJ.

Dalam entrinya, Khalid juga menulis, sepertimana kebanyakkan persoalan lain berhubung dengan isu Gereja Methodist Damansara Utama, dakwaan Papa Gomo bahawa “saya menghalang gereja berkenaan disita oleh MBPJ merupakan satu pembohongan.”

“Dia mendakwa bahawa saya pada 11 Ogos telah menghubungi MBPJ dan menghalang operasi menyita gereja tersebut sejurus sebelum pihak penguat kuasa MBPJ dan polis bersiap sedia untuk melakukannya.

“Walau bagaimanapun, pembohongan semasa bulan Ramadan yang mulia tidak merupakan masalah bagi pihak Umno dan budak suruhan mereka. Mereka menganggap ke-Melayuan mereka adalah perisai yang menjadikan mereka kebal terhadap kemurkaan Allah! Apalah hendak dibandingkan satu pembohongan berbanding hadiah mangkuk tandas? Akhlak mereka amat membinggungkan,” katanya lagi.

Katanya, laporan polis 16 Ogos oleh Fauzi jelas mendedahkan sifat pembohong golongan terbabit terutamanya Papa Gomo.

“Saya difahamkan bahawa walaupun pembohongannya telah terdedah, Papa Gomo tetap mempertahankan kenyataannya dan menyatakan kesanggupan dirinya untuk berjuang habis-habisan. Baguslah jika begitu, kerana saya pun berpendirian sedemikian,” katanya lagi. -TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan