Kebiasaannya umat Islam mengaji atau melakukan qiamullail sebelum bersahur, namun berbeza dengan pasangan kekasih ini apabila sanggup menunggu waktu bersahur dengan berasmara di atas tembok pantai.
Pengakuan berkenaan dibuat setelah kedua-duanya dicekup Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) dalam Ops Santai di Lebuh Sungai Pinang Bandar Sri Pinang Jelutong.
Mereka yang masih menuntut di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini mengaku ingin bersahur, namun waktu terlalu awal untuk ke kedai makan dan mengambil kesempatan melepaskan penat di tembok pantai seawal jam 2 pagi.
Ketika ditahan, si gadis berbaring dan kepalanya diletakkan di celah riba kekasihnya, namun perbuatan mereka lebih mencurigakan apabila butang baju wanita sedikit terbuka sementara tudung yang dipakai sudah terbuka.
Seorang penguat kuasa kemudiannya menegur ada tudung terjatuh di bahagian belakang tembok dan pelajar wanita itu mengaku tudung itu miliknya.
“Saya pening kepala sebab itu tudung dibuka dan kami duduk di sini untuk berehat sahaja,” katanya kepada penguat kuasa.
Lelaki yang berasal dari Kelantan itu bagaimanapun hanya tersenyum sahaja ketika ditanya kenapa duduk di tempat yang gelap dan berdua-duaan bersama kekasihnya.
Namun, gadis yang berusia 18 tahun dan berasal dari Johor itu agak kasar ketika menjawab soalan penguat kuasa di lokasi kejadian.
“Kamu tahu apa kesalahan kamu duduk berdua-duaan di tempat gelap ini, dan kenapa mahu berdua-duaan di sini menunggu waktu bersahur.
“Kamu berdua tidak takut kena rompak atau samun?,” tegur seorang penguat kuasa JAIPP.
Mereka kemudiannya diberikan notis mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 atas perbuatan kurang sopan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.
Turut hadir dalam operasi berkenaan, Ketua Unit Operasi dan Penguat kuasa JAIPP, Khairul Azman Azizan dan hampir 20 penguat kuasa JAIPP. -SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan