Pengikut

Rabu, 15 Jun 2011

Ummi suruh lucut gelaran "Datuk Seri" dari Anwar?

Saksi penting kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 - Ummi Hafilda Ali terus menyerang bekas timbalan perdana menteri itu.

Kali ini, beliau memohon supaya gelaran 'Datuk Seri' yang diberikan kepada Anwar ditarik kembali kerana merasakan ketua pembangkang itu tidak layak memegang gelaran berkenaan.

Justeru, beliau mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Majlis Raja-Raja mempertimbangkan supaya menggugurkan gelaran dan darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Anwar ketika berkhidmat dalam kerajaan sebelum ini.

"Beliau adalah pengerak reformis dalam parti pembangkang yang menentang ketuanan negara dan mempertikaian kredibiliti Majlis Raja-Raja, dia tidak layak diberikan sebarang anugerah dan pingat," katanya.

Menurutnya, Anwar tidak boleh diberi muka lebih-lebih lagi pemimpin terbabit pernah menerima hukuman penjara.

Umi Hafilda, 37, mengeluarkan kenyataan itu sebaik hadir memberikan sokongan kepada 13 NGO yang membuat laporan polis berkenaan Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) di Balai Polis Melaka Tengah.

Hadir sama, Presiden Sekretariat Pemikir Dan Perpaduan Melayu, Shahrul Azuwar Abdul Aziz, Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan NGO Negeri, Mohammad Marwan Abu Kassim.

Antaranya NGO yang tampil membuat laporan polis adalah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Melaka, Pertubuhan Peribumi Perkasa (PERKASA) dan Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah (PEKIDA).

Dalam pada itu, Umi yang merupakan adik kepada timbalan presiden PKR Azmin Ali turut mendakwa Anwar bersifat 'plastik' berikutan tidak menghormati pemimpin dan Raja malahan mempunyai agenda tersendiri untuk memusnahkan kerajaan.

"Saya ingin ingatkan kepada Anwar supaya jangan heret rakyat ke jalanan untuk mengadakan reformasi, ini bukan zaman reformasi.

"Dia perlu bersihkan dirinya terlebih dahulu dan mengakui kesilapan diri, bukan terus-terusan menafikan kekhilafan," katanya.

Jelasnya, segala pendedahan mengenai Anwar kepada umum bukan untuk meraih simpati atau bukan semata-mata membela keluarga tetapi atas rasa tanggungjawab terhadap 27 juta rakyat Malaysia.

"Kerajaan yang sedia ada cukup kuat untuk mentadbir rakyat bukan seperti parti pembangkang yang tidak rasional.

"Pelajar universiti tidak perlu diheret mengadakan reformasi, Anwar sebenarnya terdesak sekiranya dia menggunakan pelajar untuk meraih sokongan," katanya.

-Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan