Pengikut

Isnin, 20 Jun 2011

SPR sedia jumpa BERSIH

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia mengadakan pertemuan dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dengan syarat gabungan tersebut membatalkan perhimpunannya pada 9 Julai ini, kata pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

"Kita bincang tetapi dengan syarat begitulah, tetapi jika nak mengadakan demonstrasi dan jumpa kita hanya sebagai "rubber stamp" atau alasan sahaja, tidak ada maknalah.

"Pada saya, demonstrasi itu tidak menyelesaikan sebarang masalah. Pindaan undang-undang tidak akan terjadi dengan sendirinya kerana demonstrasi, atau permohonan mereka akan diterima, tidak mungkin," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan kumpulan itu yang tetap mahu mengadakan perhimpunan haram pada 9 Julai ini

Kumpulan itu menuntut lapan perkara untuk memastikan pilihan raya telus dan bersih tanpa sebarang penyelewengan, iaitu membersihkan senarai undi, reformasi kepada undi pos, guna dakwat kekal, tempoh kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Abdul Aziz berkata jika benar kumpulan itu memperjuangkan demokrasi, ia boleh terus berbincang dengan SPR dan mengemukakan permohonan dengan cara baik.

"Ini bukan caranya, jangan guna SPR sebagai kambing hitam. Ini kata SPR tidak demokrasi, tidak bersih, membantu dan menyokong kerajaan. Tetapi buktinya (keputusan) pilihan raya umum dan pilihan raya kecil tidak begitu.

"Jika pengundi suka pembangkang, menang pembangkang, banyak buktinya. Jadi, apa sebenarnya tujuannya? Saya fikir kami berlaku adil dan saksama," katanya.

Pengerusi SPR itu menjelaskan pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasandan dan ahli-ahlinya pada penghujung tahun lalu dan mereka menerima dengan baik penjelasan SPR berhubung perkara-perkara yang dibangkitkan.

Katanya lapan perkara itu juga telah diperjelaskan oleh beliau di media sebelum ini yang antaranya memerlukan pindaan undang-undang dilakukan terlebih dahulu.

"Mereka (Bersih) mahu berjumpa saya sekali lagi pada Mac atau April lalu, tapi pada masa itu, kita (SPR) sibuk dengan beberapa pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak.

"Jadi, saya kata tak boleh kerana saya sibuk sangat, dan mencadangkan mungkin lain kali. Lepas itu, senyap dan tiba-tiba dengar nak buat perhimpunan," katanya.

Abdul Aziz berkata beliau berpendapat kumpulan itu mempunyai agenda lain dan bukan hanya membabitkan isu ketelusan SPR.

"Saya fikir kumpulan ini bukan bukan seperti pertubuhan bukan kerajaan yang sepatutnya, saya fikir kumpulan itu telah dipengaruhi oleh parti politik (tertentu).

"Mereka tidak lagi berkecuali, tidak lagi bebas, ia dipengaruhi oleh sesuatu kumpulan, tanpa sokongan kumpulan-kumpulan itu, Bersih tidak ada apa-apa," katanya.

Sistem biometrik

Sementara itu, Aziz berkata, SPR bercadang menggunakan sistem biometrik yang membolehkan proses pengesahan pengundi dilakukan secara elektronik, pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, SPR akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menggunakan sistem tersebut yang kini diguna pakai terhadap warga asing.

"KDN dah pakai sekarang untuk warga asing yang nak masuk ke dalam negara kita. Kaedah yang sama akan digunakan, kali ini kita akan guna pada pengundi," katanya.

Beliau mengulas mengenai penggunaan dakwat kekal, iaitu satu daripada lapan perkara yang dituntut BERSIH.

Jabatan Imigresen kini menggunakan sistem biometrik di pintu-pintu masuk di seluruh negara, sebagai kaedah untuk menangani jenayah antarabangsa dan kebanjiran pendatang asing tanpa izin di negara ini.

Abdul Aziz berkata melalui penggunaan sistem biometrik, sebelum kertas undi dikeluarkan, langkah pertama yang akan dilakukan ialah membuat pengesahan terhadap kad pengenalan untuk membuktikan ia dokumen asli.

"Kemudian, pemegang kad pengenalan itu perlu meletakkan jarinya di situ, dan maklumat yang keluar pada skrin sama dengan kad pengenalan yang dibawa," katanya.

Sebaik sahaja disahkan, katanya SPR akan memeriksa sama ada nama pembawa kad pengenalan itu disenaraikan dalam daftar pemilih sebelum mengeluarkan kertas undi.

Abdul Aziz berkata selepas mengundi, individu berkenaan tidak boleh pergi ke tempat lain dengan membawa kad pengenalan yang sama untuk mengundi bagi kali kedua.

Beliau berkata sistem biometrik merupakan penyelesaian terbaik berbanding dengan penggunaan dakwat kekal seperti di India dan Indonesia.

Katanya SPR tidak akan menggunakan dakwat kekal kerana sehingga kini, tiada laporan atau petisyen yang menunjukkan terdapat pengundi yang mengundi dua kali di negara ini.

"Penggunaan dakwat kekal itu juga tidak akan menyelesaikan masalah orang mengundi dua kali yang ditohmah selama ini, yang tidak benar sama sekali," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan